PETALING JAYA – Maghfirah Travel & Tours Sdn. Bhd. (Maghfirah Travel) menjalin kerjasama strategik bersama Amal by Malaysia Airlines sebagai usaha berterusan dalam memastikan keselesaan dan keyakinan para jemaah ketika menunaikan ibadah ke Tanah Suci.
Ia mencerminkan kesungguhan syarikat dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih tersusun, selamat dan diyakini, khususnya dalam keadaan geopolitik global yang tidak menentu ketika ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fakrur Radzi Mohd. Omar berkata, pihaknya sentiasa meletakkan kepentingan jemaah sebagai keutamaan dalam setiap keputusan yang diambil.
“Kami amat bersyukur apabila Maghfirah Travel dipilih sebagai salah satu daripada 14 agensi umrah oleh Amal by Malaysia Airlines bagi musim 1448H, yang mencerminkan tahap kepercayaan dan standard perkhidmatan yang kami bawa selama ini.
“Sebagai tanda komitmen terhadap jemaah, kami telah mengambil langkah untuk melabur hampir RM10 juta bagi tempahan awal tempat duduk penerbangan, supaya perjalanan jemaah dapat dirancang dengan lebih teratur, selesa dan diyakini,” katanya dalam kenyataan.
Maghfirah Travel telah bertapak dalam industri umrah selama 15 tahun dan menerbangkan hampir 30,000 jemaah umrah sepanjang tempoh tersebut.
Bagi musim umrah kali ini, syarikat menyasarkan untuk menerbangkan seramai 4,000 jemaah.
Fakrur Radzi menambah, cabaran industri umrah hari ini bukan lagi sekadar jualan, tetapi yang lebih penting ialah pengurusan risiko daripada ketidaktentuan global, kestabilan harga penerbangan, sehinggalah kepada pengurusan harapan jemaah yang semakin tinggi.
“Dalam masa yang sama, terdapat tekanan harga dalam pasaran yang boleh menjejaskan kualiti jika ia tidak diurus dengan betul.
“Jadi bagi Maghfirah Travel, fokus kami bukan untuk menjadi yang paling murah, tetapi yang paling diyakini dengan memastikan setiap perjalanan yang kami tawarkan benar-benar terancang, selamat dan boleh dilaksanakan,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE














