PETALING JAYA – Pengalaman pertama seorang pengguna jalan raya berdepan detik cemas apabila terkandas di atas jalan akibat banjir kilat di laluan Kuala Selangor–Kepong menghala ke MRR2, hari ini.
Difahamkan, hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air termasuk sekitar Sungai Gasi berhampiran KTM Sungai Buloh sehingga jalan raya bertukar seperti kolam.
Menurut perkongsian di media sosial, paras air meningkat dengan cepat sehingga kenderaan tidak dapat bergerak, sekali gus mengakibatkan kesesakan teruk di kedua-dua arah.
“Dah jadi macam kolam dah jalan Sungai Buloh tu,” katanya.
Situasi turut menyaksikan penunggang motosikal, termasuk penghantar makanan, terpaksa menolak motosikal masing-masing selepas enjin mati akibat meredah banjir.
Sehingga pukul 5.15 petang tadi, aliran trafik dilaporkan sesak teruk khususnya bagi laluan menuju ke Sri Damansara dan Sungai Buloh. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














