TEHRAN – Tentera Iran berikrar bertindak balas selepas sebuah kapal pemusnah membedil kapal kargo Iran yang cuba mengelakkan sekatan Amerika Syarikat (AS) di Teluk Oman.
“Kami memberi amaran angkatan bersenjata Republik Islam Iran akan segera membalas dendam terhadap lanun bersenjata ini dan tentera AS,” kata jurucakap pusat perintah tentera Tehran, Khatam Al-Anbiya yang dipetik agensi berita ISNA.
Beliau menuduh Amerika Syarikat ‘mencabuli gencatan senjata’ yang berkuat kuasa sejak 8 April lalu.
Presiden Donald Trump memuat naik kenyataan di laman Truth Social semalam bahawa selepas kapal Iran, Touska, mengabaikan amaran untuk berhenti, kapal pemusnah peluru berpandu USS Spruance ‘menghentikannya serta-merta dengan melubangi bilik enjin’.
“Buat masa ini, Marin AS sedang menahan kapal itu dan melihat apa yang ada di dalamnya!,” kata Trump.
Insiden berlaku ketika ketegangan di Selat Hormuz memuncak. Iran menutup laluan utama minyak dunia dan gas asli cecair itu sejak permulaan perang terhadap AS-Israel, tujuh minggu lalu.
Tehran bagaimanapun membuka semula Selat Hormuz buat seketika pada Jumaat lepas kerana mengiktiraf gencatan senjata Israel-Hezbollah di Lubnan tetapi menutup semula keesokan harinya sebagai tindak balas terhadap AS mengekalkan sekatan ke atas kapal-kapal yang menuju dan belayar dari pelabuhan Iran.
Dalam hantaran terdahulu semalam, Trump menuduh Tehran melanggar gencatan senjata, yang sepatutnya tamat tempoh pada Rabu ini dengan melancarkan serangan di Selat Hormuz kelmarin. – AFP














