fbpx
Aminuddin

Pengisytiharan turunkan Tuanku Muhriz tidak sah – MB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Tindakan Datuk Mubarak Dohak yang menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungei Ujong semalam tidak boleh diterima atau diiktiraf oleh Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ini berikutan Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong, selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

“Pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Dato’ Klana Petra Luak Sungei Ujong telah dibuat mengikut pesaka dan adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Sungei Ujong sejak 13 Mei 2025.

“Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April lepas telah bersetuju menasihat dan menerima kesepakatan Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Luak Sungei Ujong yang memberhentikan Mubarak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Luak Sungei Ujong ke-10, selaras dengan peruntukan Fasal 14(3) UUTKNS,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aminuddin berkata, perkara itu selaras dengan peruntukan Fasal 14(3) UUTKNS atas 33 kesalahan berkaitan pesaka dan adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Luak Sungei Ujong.

Dalam pada itu, Aminuddin memaklumkan bahawa fungsi DKU Negeri Sembilan ialah berperanan sebagai badan penasihat atas perkara berkaitan adat istiadat orang Melayu termasuk soal pemilihan dan perlucutan jawatan Undang Luak yang empat seperti diperuntukkan dalam Perkara 16 UUTKNS.

“Ini termasuk dalam urusan pemberhentian seseorang Undang Luak daripada memegang pesaka mengikut adat luaknya mengikut Fasal 14(3) UUTKNS.

“Nasihat penerimaan oleh DKU terhadap pemberhentian penyandang pesaka Datuk Undang Luak di Negeri Sembilan juga pernah dilaksanakan sebelum ini apabila penyandang pesaka Undang Luak Johol ke-14 Datuk Mohammad Jan Abdul Ghani diberhentikan pada 27 Mac 2016 atas 13 kesalahan berkaitan pesaka dan adat Luak Johol,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN