KUALA LUMPUR – Iran tidak menyertai pameran Defence Services Asia (DSA) dan NATSEC Asia 2026 walaupun pada awalnya telah menyatakan komitmen untuk terlibat.
Perkara itu disahkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang memaklumkan penarikan diri berlaku pada saat akhir dan dibuat susulan cabaran logistik serta situasi konflik semasa yang melanda Asia Barat ketika ini.
“Pada mulanya mereka telah menyatakan kesediaan untuk menyertai, namun syarikat-syarikat dari negara itu menarik diri,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi walkabout pameran DSA dan NATSEC Asia 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Beliau berkata, keadaan geopolitik semasa memberi kesan langsung kepada penyertaan beberapa negara dalam pameran pertahanan tersebut.
Bagaimanapun, ketiadaan Iran tidak menjejaskan keseluruhan penganjuran DSA yang memasuki edisi ke-19 tahun ini.
Katanya, penyertaan negara lain seperti China, Amerika Syarikat, Turkiye dan beberapa negara Eropah kekal memberangsangkan.
“Walaupun berdepan cabaran, kita masih melihat peningkatan dari segi jumlah penyertaan syarikat,” ujarnya.
Menurut beliau, sebanyak 1,456 syarikat dari 63 negara mengambil bahagian, meningkat berbanding edisi sebelum ini.
Tambahnya, situasi tersebut membuktikan DSA kekal relevan sebagai platform global dalam industri pertahanan. – KOSMO! ONLINE














