fbpx
GAMBAR fail 2016 menunjukkan kapal pemusnah USS Spruance (depan) belayar di Lautan Pasifik. – AFP

Tehran ikrar balas dendam, USS Spruance bedil kapal kargo Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEHRAN – Tentera Iran berikrar bertindak balas selepas sebuah kapal pemusnah membedil kapal kargo Iran yang cuba mengelakkan sekatan Amerika Syarikat (AS) di Teluk Oman.

“Kami memberi amaran  angkatan bersenjata Republik Islam Iran akan segera membalas dendam terhadap lanun bersenjata ini dan tentera AS,” kata jurucakap pusat perintah tentera Tehran, Khatam Al-Anbiya yang dipetik agensi berita ISNA.

Beliau menuduh Amerika Syarikat ‘mencabuli gencatan senjata’ yang berkuat kuasa sejak 8 April lalu.

Presiden Donald Trump memuat naik kenyataan di laman Truth Social semalam bahawa selepas kapal Iran, Touska, mengabaikan amaran untuk berhenti, kapal pemusnah peluru berpandu USS Spruance ‘menghentikannya serta-merta dengan melubangi bilik enjin’.

“Buat masa ini, Marin AS sedang menahan kapal itu dan melihat apa yang ada di dalamnya!,” kata Trump.

Insiden berlaku ketika ketegangan di Selat Hormuz memuncak. Iran menutup laluan utama  minyak dunia dan gas asli cecair itu sejak permulaan perang terhadap  AS-Israel, tujuh minggu lalu.

Tehran bagaimanapun membuka semula Selat Hormuz buat  seketika pada Jumaat lepas kerana mengiktiraf gencatan senjata Israel-Hezbollah di Lubnan  tetapi menutup semula keesokan harinya sebagai tindak balas terhadap AS mengekalkan sekatan  ke atas kapal-kapal yang menuju  dan belayar dari  pelabuhan Iran.

Dalam hantaran terdahulu semalam, Trump menuduh Tehran melanggar gencatan senjata, yang sepatutnya  tamat tempoh pada Rabu ini  dengan melancarkan serangan  di Selat Hormuz kelmarin. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN