SEGAMAT – Demi membesarkan anaknya, seorang ibu tunggal sanggup menjadi penghantar makanan bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka sekeluarga.
Kata Ong Lay Kim, 25, dia tidak kisah menunggang motosikal siang dan malam demi mencari rezeki buat anak tunggalnya kerana usianya masih lagi muda.
“Saya menjadi rider sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2021 kerana ketika itu, itu sahaja pekerjaan yang mudah didapati.
“Kerja ini tidak mudah kerana saya menggadaikan nyawa menunggang motosikal dalam cuaca panas dan hujan tetapi saya tiada pilihan lain.
“Saya ada seorang anak berusia lapan tahun yang saya perlu jaga dan besarkan. Jadi saya terpaksa lakukan kerja ini.
“Kerja ini flesibel untuk saya pulang ke rumah bila-bila masa untuk jaga anak saya jika dia sakit yang turut dibantu ibu saya di rumah,” katanya ketika di temui di Sungai Kapeh, Segamat semalam.
Tambah Lay Kim, pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang menjadi rider adalah terjatuh dari motosikal sewaktu hujan lebat kerana keadaan yang licin.
“Saya mengalami sedikit kecederaan sewaktu terjatuh dari motosikal tetapi saya tetap gagahkan juga diri menunggang motosikal untuk mengambil tempahan makanan.
“Saya kuatkan semangat demi kelangsungan hidup dan demi keluarga. Ini sahaja mata pencarian saya,” ujarnya.
Selain itu, seorang lagi rider wanita, Noor Izzati Samah, 28, dia sudah lebih satu tahun menjadi rider wanita secara sambilan.
“Pekerjaan ini fleksibel jadi mudah untuk saya bergerak dan bekerja bila-bila masa. Sementara menunggu panggilan permohonan guru, saya jadi rider dahulu. Jadi saya dapat menyimpan duit sedikit demi sedikit,” jelasnya.
Ujarnya, pengalaman tidak boleh lupa, apabila motosikal kehabisan minyak di kawasan sunyi tetapi alhamdulillah ramai rider lelaki yang lain banyak bantu. Bila kita memerlukan bantuan, mereka cepat sampai.














