JAKARTA – Keluarga seorang pengantin perempuan di Indonesia menuntut pampasan 70 juta rupiah (RM15,635) terhadap seorang remaja lelaki selepas dia membawa wanita itu melarikan diri kira-kira enam jam sebelum berkahwin, lapor laman berita Detik.
Pengantin perempuan dikenali sebagai NAS, 19, ditemui bersama teman lelakinya, DF, 18, di sebuah bilik hotel di Jepara, wilayah Jawa Tengah pagi kelmarin.
Ketua Polis Tlogowungu, AKP Mujahid berkata, kedua-dua individu itu dibawa ke balai polis selepas melarikan diri dan ditemukan di sebuah hotel.
“Rundingan pertama melibatkan keluarga NAS dan keluarga pengantin lelaki dikenali sebagai Musalim. Dia membatalkan perkahwinan itu dan menuntut sejumlah pampasan daripada keluarga NAS.
“Rundingan kedua pula melibatkan keluarga NAS dan DF. DF diminta untuk membayar pampasan sebanyak 70 juta rupiah,” kata Mujahid.
Beliau menambah, DF bersetuju untuk berkahwin dengan NAS dalam masa terdekat..
“Pampasan tersebut akan dibayar secara ansuran iaitu sebanyak 4 juta rupiah (RM893) pada setiap bulan,” tambahnya. – AGENSI














