GUA MUSANG – Penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Tohoi di sini yang terbabit dengan Projek Hidroelektrik Nenggiri mengakui sedih bercampur gembira kerana terpaksa meninggalkan penempatan mereka, namun akur demi pembangunan.
Penduduk Orang Asli, Raman Abas, 70, berkata, dia sekeluarga sedia untuk berpindah ke penempatan baharu yang disediakan kerana perkampungan itu dijangka tenggelam apabila Empangan Hidroelektrik Nenggiri beroperasi tahun hadapan.
Katanya, penduduk bersetuju untuk berpindah ke tempat baharu yang dilengkapi kemudahan termasuk jalan dan sekolah di Kuala Yai yang terletak 50 kilometer dari perkampungan mereka.
“Saya pasti akan merindui suasana di Pos Tohoi kerana banyak kenangan di sini termasuk kubur nenek moyang dan sungai tempat kami mandi dan mencari ikan,” katanya.
Selain rumah dan kebun, tempat bersejarah bagi komuniti Orang Asli suku kaum Temiar termasuk Gua Cha dan Gua Chawas juga akan tenggelam.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli Pos Tohoi, Jenny Adik berkata, penduduk Orang Asli berharap penempatan baharu yang dilengkapi infrastruktur itu dapat disiapkan segera.
“Kami bukan sahaja berkorban nyawa, malah sanggup meninggalkan penempatan yang didiami sejak turun temurun. Jadi kami harap kerajaan dapat sediakan kemudahan yang lebih baik seperti jalan berturap, elektrik, air, tanah kebun dan sekolah,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, projek pembinaan penempatan baharu itu sedang disiapkan dan berharap kumpulan tersebut bukan sahaja mendapat penempatan baharu, malah kemudahan asas yang lebih baik.














