KLANG – Tindakan tidak senonoh seorang bekas banduan menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita membawa padah apabila dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Majistret A. Karthiyayini menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Rakis Abdul Lama, 38, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa daripada tarikh tangkap pada 14 April lalu.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa hendak mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 21 tahun dengan menunjukan kemaluan kepada mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Teluk Pulai di sini, kira-kira pukul 11 malam pada 12 April.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah memerhatikan mangsa yang berada di ruang tamu sebuah rumah sebelum tertuduh bertindak baring secara mengiring menghadap mangsa.
Tertuduh kemudiannya mengeluarkan dan menunjukkan kemaluannya yang menyebabkan mangsa terus menjerit dan memanggil abang iparnya yang berada di bilik tingkat atas bagi meminta pertolongan.
Terdahulu pada prosiding itu, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M. Soosai Raj memohon mahkamah hanya mengenakan
hukuman minima susulan tertuduh baharu sahaja keluar dari penjara dan tidak mempunyai pekerjaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Syuhada Rosli bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh. – KOSMO! ONLINE














