GEORGE TOWN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang ahli perniagaan berhubung nombor pendaftaran Toyota Alphard milik syarikatnya yang dipindah hak milik tanpa kebenaran.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, siasatan disusuli tindakan akan diambil berdasarkan prosedur dan undang-undang yang berkaitan sekiranya didapati benar berlaku perkara terbabit.
“Kita akan bantu tapi bergantung juga kepada tatacara tukar hak milik itu sendiri. Siasatan perlu dibuat dan kemudian kita perlu kenal pasti apa perundangan-perundangan yang boleh kita laksanakan untuk kita semak dahulu.
“Sebab, kadang-kadang dakwaan itu tidak benar. Mungkin ia lebih kepada dia merasakan bahawa nombor itu nombor dia tetapi sebenarnya telahpun ditukar hak milik secara sah.
“Jadi pihak JPJ perlu lakukan siasatan terlebih dahulu,” katanya pada sidang akhbar di George Town, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu lagi, pihaknya juga ada menerima beberapa aduan berkaitan dakwaan pemindahan hak milik nombor pendaftaran kenderaan unik tanpa pengetahuan pemilik asal.
“Saya tak nafikan mungkin ada penglibatan orang dalaman tetapi kami perlu laksanakan dulu siasatan berkaitan dengan isu tersebut.
“Kita tak boleh buat satu kesimpulan terus tentang ini (penglibatan orang dalam). Disebabkan itu juga kita perlu siasat setiap kes yang diterima,” ujarnya lagi.
Terdahulu, media melaporkan seorang ahli perniagaan perkhidmatan kereta sewa mendakwa nombor pendaftaran Toyota Alphard milik syarikatnya dipindah hak milik tanpa kebenaran selepas disewakan kepada ejen kereta sewa, Januari lalu.
Kenderaan tersebut memiliki nombor pendaftaran popular dan unik iaitu P111 dan ia didakwa dibawa ke sebuah bilik pameran kereta terpakai di Puchong, Selangor tanpa pengetahuannya.
Rentetan dakwaan individu terbabit, Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong menggesan pihak berkuasa terutama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) digesa menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan sewajarnya kerana ia tidak sepatutnya berlaku. -KOSMO! ONLINE














