GEORGE TOWN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat kes membabitkan seorang lagi pemandu bas ekspres yang disyaki memandu dalam keadaan tidak selamat.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, bagaimanapun pihaknya akan menyemak terlebih dahulu kejadian yang tular menerusi satu rakaman video di media sosial tersebut.
“Selalunya kalau ada isu-isu seperti ini kita akan jalankan siasatan bersama dengan PDRM. Ada kes yang akan diambil alih oleh pihak PDRM terlebih dahulu kerana kes-kes yang melibatkan polis ini kita perlu serahkan dahulu kepada mereka.
“Kes-kes yang JPJ boleh ambil adalah berkaitan dengan akta pengangkutan jalan yang tak melibatkan elemen jenayah kemalangan dan sebagainya.
“Tapi kita ada kerjasama dengan PDRM yang mana kita nak siasat,” katanya pada sidang akhbar sempena pengumuman penawaran Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) di The Top di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan polis sedang mengesan seorang pemandu bas ekspres yang disyaki memandu dalam keadaan tidak selamat, susulan tular satu rakaman video di media sosial dan aplikasi WhatsApp, semalam.
Rakaman berkenaan memaparkan pemandu bas ekspres terbabit memandu dalam keadaan duduk menyandar ke belakang, selain hanya memegang stereng menggunakan sebelah tangan ketika kenderaan sedang bergerak pada waktu malam. -KOSMO! ONLINE














