SEREMBAN — Sebuah bengkel mengalami kerugian besar selepas enam buah motosikal jenis Yamaha RX-Z milik pelanggan hilang selepas premis tersebut dipecah masuk awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 1 pagi.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat kesan umpil pada pintu shutter, selain kerosakan di lantai dan kesan darah di beberapa bahagian dalam premis tersebut,” katanya kepada pemberita.
Menurut beliau, dalam kejadian itu, suspek melarikan enam buah motosikal Yamaha RX-Z, dua topi keledar jenama Shoei dan MS 88 dan beberapa alat ganti motosikal dengan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan RM60,000.
Nombor pendaftaran motosikal yang dilaporkan hilang adalah BRD 135, WVG 3923, JBS 1450, CAL 8555, NBQ 275 dan NAW 8927.
Kesemua motosikal tersebut adalah milik pelanggan yang dihantar untuk simpanan dan kerja baik pulih. Kes disiasat di bawah Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














