TEKNIKAL memburu ikan toman di empangan ini tidak jauh beza dengan di Semenanjung. Di sini, faktor utama seperti cuaca dan aras air empangan memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan trip.
Sekiranya paras air tinggi, maka ikan toman biasanya berada di pinggiran tebing-tebing empangan. Gewang buzzbait, crankbait dan soft plastic (SP) antara yang popular digunakan ketika itu.
Jika paras air rendah pula, ikan toman akan berada di dalam anak-anak sungai dan kawasan reba yang timbul akibat paras air semakin rendah. Waktu itu, gewang seperti pencil, SP dan jump frog lebih sesuai digunakan.
Sebaiknya sebelum trip, lebih baik mendapatkan nasihat daripada tekong berkaitan gewang dan teknik terkini.
Lubuk yang berbeza memerlukan cara berlainan juga.
Di sini, pancingan toman boleh dilakukan secara menebing (land based) atau dengan menggunakan bot. Kelebihan guna bot bertekong, pemancing dapat menjelajah ke lokasi-lokasi jauh dari penempatan orang.
Pada trip kali ini, saya menggunakan khidmat tekong Carleston atau lebih dikenali sebagai Bungop.
Menurutnya, persiapan yang mencukupi dari segi set pancing, gewang dan tali yang bersesuaian amat penting kerana di empangan ini terdapat pelbagai jenis lubuk toman berlainan persekitaran dan struktur.
Saya sendiri berbekalkan dua set pancing dengan dua kelas kekuatan iaitu sederhana 8-20lb dan berat PE3.
Kebiasaannya, kami akan memulakan trip sekitar pukul 7 pagi. Perjalanan ke lokasi pertama mengambil masa sekitar 30 minit hingga satu jam, bergantung kepada paras air semasa.
Selain itu, tujuan kami bergerak awal adalah kerana keadaan cuaca tenang dan tiada angin pada waktu pagi. Ini memudahkan kami meninjau lokasi toman berada ketika ia timbul mengambil nafas.
Oleh itu, kebolehan melempar gewang jauh dengan tepat dan pantas memainkan peranan utama kejayaan mengilat toman di sini.
Ketika trip
Kami memberhentikan bot di sekitar muara anak sungai kecil sambil menunggu toman timbul.
Hanya beberapa minit, sudah kelihatan seekor toman timbul di permukaan air, tidak jauh dari bot.
Tidak menunggu lama, saya terus melempar buzzbait berhampiran dengan ikan tersebut. Hanya beberapa kali dikarau laju, gewang telah dirembat dan ikan terus mengheretnya ke arah reba berhampiran.
Saya terpaksa mengunci drag lebih ketat untuk menghalangnya daripada memasuki reba. Setelah beberapa ketika, akhirnya toman bujang itu berjaya dinaikkan dan terus dilepaskan semula.
Tidak lama selepas itu, giliran Rasbinie pula mendapat sambaran.
Berbekalkan joran PE1-3 dan kekili Shimano Curado DC, dia dengan mudah menawan toman tersebut.
Lokasi ini agak meriah pada awal pagi dengan beberapa ekor toman bujang berjaya ditewaskan.

Sekitar pukul 10 pagi, kami bergerak pula ke arah hulu untuk mencari toman saiz lebih kasar.
Menurut tekong, ikan-ikan bersaiz besar biasa akan berpindah ke bahagian hulu empangan kerana di sana masih terdapat banyak sumber makanan di anak-anak sungai.
Kali ini, kami bertukar kepada teknik lemparan gewang secara rawak (blind casting) kerana di sepanjang aliran anak sungai ini terdapat banyak reba dan tunggul kayu yang berpotensi menjadi sarang toman.
Ketika ini, penggunaan SP paling sesuai kerana persembahan kalis sangkut (weedless) meminimumkan kejadian gewang tersangkut struktur semasa mengilat sambil bot bergerak.
Hal ini terbukti apabila SP Padil disambut kemas oleh toman penghuni reba.
Kekuatan sambarannya ternyata mampu memberi senaman jantung kepada pemancing yang baru berjinak mengilat toman.
Sambil bot bergerak perlahan menyusuri sungai ini, mata saya tertumpu melihat kelompok merah yang besar tiba-tiba muncul di permukaan air. Tanpa membuang masa, buzzbait saya terus sampai ke kumpulan anak-anak toman itu.
Aksi bising gewang ternyata telah membuatkan mama toman itu bertindak agresif bertujuan mempertahankan anak-anaknya.
Ia terus menghambat gewang dan menerkamnya dengan padu.
Kali ini, saya dapat merasakan ikan ini bersaiz lebih besar daripada yang saya pancing di awal pagi tadi. Kesilapan saya adalah menggunakan set medium untuk menjinakkan toman yang sangat garang ini.
Kekili berkekuatan drag maksimum empat kilogram tidak mampu menghalang pecutan si mama hingga membuatkan saya terpaksa menahan gelendung tali dengan jari dan mengharap bot bergerak keluar dari zon struktur.
Setelah beberapa minit yang mencemaskan, akhirnya induk toman itu berjaya dinaikkan.
Sangkar tilapia
Memandangkan hari semakin gelap, kami berpatah balik dan cuba untuk memancing di sekitar kolam ikan tilapia merah yang berada di serata empangan.
Menurut tekong, kawasan tersebut dikatakan menjadi tempat pemburuan ikan toman yang popular dalam kalangan pemancing.
Ini kerana ikan tilapia terlepas dan ikan-ikan lain suka berlegar mencari makanan di sekitar sangkar yang merupakan diet utama toman.
Sampai sahaja di lokasi, gewang terus dibaling ke tepi sangkar. Tanpa diduga, satu sambaran kuat menyambut buzzbait saya.
Sentapan yang kasar itu menyebabkan saya terpaksa mengunci drag dengan lebih ketat, namun ikan kali ini tidak memberi peluang.
Gewang saya diheret jauh ke dasar dan setelah beberapa ketika tali pancingan terasa kendur menandakan ikan tersebut berjaya memutuskannya.
Sahabat saya pula yang bernasib baik kerana lontaran gewang dia di tempat sama telah dirembat oleh seekor lagi toman.
Pecutan toman kali ini berjaya dikawal dengan kemas tanpa memberi peluang untuk ikan tersebut melarikan diri. Hasilnya seekor toman black ’berjaya dinaikkan.
Setelah senja berlabuh, kami memutuskan untuk kembali ke jeti. Alhamdulillah, semua berjaya mendapatkan lesen toman Batang Ai pada trip kali ini.














