PUTRAJAYA – Jika diimbas 20 tahun lalu, wanita ini merupakan seorang pelajar pintar yang berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Komputer Sains dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), sekali gus menjadi harapan keluarga dan model ikutan kepada adik-beradik lain.
Namun, kehidupan Khairu Faradilla Mohd. Zaini,44, bertukar sekelip mata pada 2006 apabila disahkan menghidap masalah skizofrenia hingga menyebabkan wanita yang dahulunya ceria berubah menjadi pendiam dan gemar menyendiri.
Menurut ibu kepada wanita itu, Hariyati Ariffin ,65, anak sulungnya yang menghidap skizofrenia sejak 20 tahun lalu masih belum sembuh selain perlu bergantung kepada ubatan hospital untuk kekal tenang.
“Sebelum sakit, anak sulung saya merupakan harapan keluarga dan pelajar pintar. Namun, selepas tamat belajar dan bekerja sebagai jurutera perisian, perwatakannya berubah sebelum disahkan menghidap kemurungan.
“Dia pernah beritahu pekerjaannya agak sukar dan mahu berhenti. Dari situ, kehidupannya berubah selepas sering menyendiri dan berubah pendiam.
“Melihat keadaan itu, saya bawa dia berjumpa doktor pakar sebelum disahkan menghidap kemurungan, seterusnya skizofrenia selama lebih 20 tahun,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Hariyati yang merupakan bekas pensyarah di UiTM Shah Alam berkata, meskipun selepas 20 tahun, keadaan anaknya masih sama serta tidak dapat menguruskan kehidupan seperti individu normal lain.
“Meskipun bergantung dengan ubat-ubatan hospital untuk memastikan dia kekal tenang, namun rutin hariannya masih sama serta tidak mampu menguruskan diri sendiri.
“Biasanya selepas bangun tidur dia akan menyendiri dan hanya akan bercakap pada masa tertentu seperti apabila mahu makan.
“Banyak masa dihabiskan dengan berada di dalam bilik, malah ada kalanya akan bercakap sendiri selain mengamuk jika keadaan gagal difahami,” katanya.
Katanya, sebagai seorang warga emas, beliau kadangkala berasa putus asa ketika menguruskan anak sulungnya susulan mengalami keletihan melampau.
“Selain anak sulung, saya turut menguruskan suami yang menghidap strok sejak sembilan tahun lalu.
“Saya sudah tua, jadi jika boleh sebelum menutup mata saya mahu melihat dia sembuh. Saya tidak tahu apa bakal terjadi kepada dia apabila saya tiada kelak,” luahnya.














