PUTRAJAYA – Walaupun sering melontarkan senyuman dan sentiasa mempamerkan perwatakan positif, namun secara realitinya, Nurulhuda Mohd. Hasim,42, sedang bertarung melawan lima kanser yang disahkan sudah di tahap akhir.
Menurut guru berasal Muar, Johor itu, kehidupannya sebagai pejuang kanser bermula pada 2019 apabila doktor mengesahkan dirinya menghidap kanser payudara, kanser tulang rusuk, hati, paru-paru serta keabnormalan di bahagian otak.
“Ini ujian hidup saya dan diri ini perlu kuat menghadapinya. Saya tidak mahu meratapi nasib dan menganggap semuanya hampir tamat apabila disahkan kanser tahap akhir.
“Saya akan terus berjuang untuk mendapatkan rawatan dengan baru-baru ini juga telah menjalani pembedahan ‘major’ bagi membuang beberapa organ yang menjadi punca kanser merebak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.
Nurulhuda berkata, salasilah keluarganya tidak mempunyai sejarah kanser dan beliau merupakan individu pertama yang diuji penyakit berkenaan.
Katanya, hospital menjadi rumah kedua sejak tujuh lalu.
Berkongsi kisah sebagai pesakit kanser, Nurulhuda berkata, dia disahkan menghidap kanser payudara pada tahun 2019 selepas mendapati
wujud ketulan sebesar telur pada anggota tubuh berkenaan.
“Untuk pembedahan payudara, saya diberi pilihan untuk menggunakan implan dan untuk tempoh dua tahun pertama, perjalanannya sangat menyakitkan dan menyiksakan.
“Sejujurnya, dalam tempoh itu saya kerap dimasukkan ke hospital sebelum akhirnya doktor turut mengesahkan saya menghidap kanser tulang rusuk.
“Susulan itu, doktor membuat keputusan untuk membuat rawatan radioterapi tetapi hanya sekali sahaja, namun dengan dos tinggi berikutan tidak mahu menjejaskan implan dipasang di payudara,” katanya.
Bagaimanapun, bahagian dijangkiti kanser di tulang rusuk tidak dapat dibuang seperti payudara kerana merupakan tulang penting menyokong organ di kawasan dada.
Katanya, tidak terhenti situ, pada 2023, doktor mengesahkan dia menghidap keabnormalan di bahagian otak yang berisiko menjadi kanser selepas sering sakit di bahagian tersebut.
“Tahun lepas, saya disahkan menghidap kanser hati dan paru-paru selepas sering berasa sakit di kawasan atas perut dan kerap gastrik.
Selepas doktor membuat imbasan, terdapat ketumbuhan pada organ itu sebelum disahkan kanser,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, guru terbabit memberitahu, selepas disahkan kanser dia sukar tidur dan dalam tempoh lima tahun dia bergantung ubat selain berjumpa dengan psikiatri kerana imsomnia.
“Untuk terus melawan kanser itu, saya perlu mengambil sebanyak 24 biji ubat sehari. Setiap bulan saya perlu mendapatkan rawatan di hospital termasuk Hospital Seremban dan Institut Kanser Negara (IKN),” ceritanya.
Tambah Nurulhuda, sebagai seorang pesakit kanser, dia tidak boleh mengikut perasan dan menyerah kalah, sebaliknya perlu kekal positif dan menikmati kehidupan dengan ceria.
“Saya tidak mahu terlalu meratapi ujian yang menimpa. Saya menjalani rutin seperti biasa, meneruskan tugas mendidik anak bangsa dan jika ada masa lapang, saya gemar melihat dunia dengan melancong ke beberapa negara termasuk Indonesia, China, Pakistan, India dan Jepun.
“Apabila doktor mengesahkan sudah di tahap akhir, tiada apa yang boleh dibuat dan perlu terus berjuang sahaja. Keberadaan keluarga termasuk sokongan rakan-rakan menjadi sumber kekuatan kepada saya untuk berjuang, seterusnya dapat terus mengajar anak-anak bangsa,” katanya.














