fbpx
Rosmah (kiri) ketika hadir di Mahkamah Tinggi, semalam.

Barang kemas yang disita dianggarkan RM443.4 juta – Saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai penyiasat kes pengubahan wang haram memberitahu anggaran kasar bagi 12,009 unit barang kemas yang disita dari kediaman mewah Pavilion Residences pada 2018, mencecah RM443.4 juta.

Asisten Komisioner Foo Wei Min, 51, berkata, penilaian itu dibuat oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Bukit Aman dengan bantuan pakar barang kemas.

“Pada 30 Mei 2018 hingga 25 Jun 2018, Deputi Superitendan Yeap Yoke Peng dari JSJK, Bukit Aman dengan bantuan pakar-pakar barang kemas telah membuat penilaian ke atas 12,009 barang kemas. Daripada pemeriksaan dan penilaian yang dibuat jumlah nilai anggaran kasar ke atas 12,009 buah barang kemas adalah lebih kurang RM443,319,206.90,” kata saksi itu.

Sementara itu, berhubung dengan siasatan yang dilakukan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor, saksi memberitahu Rosmah telah dipanggil bagi membantu siasatan ke atas harta-harta alih yang dirampas termasuk barang-barang kemas di bawah seksyen 32 Akta 613.

“Dalam rakaman percakapan defendan (Rosmah) menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa pengetahuan dan tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk memindahkan barang-barangnya daripada Langgak Duta ke Pavilion.

“Dalam rakaman percakapan tersebut juga, defendan juga tidak pernah menyatakan bahawa harta-harta tersebut adalah miliknya dan menyatakan bahawa beliau tidak boleh mengecam kesemua harta-harta alih tersebut walaupun ditunjukkan dengan gambar yang jelas,” kata saksi itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Quay Chew Soon bersambung lagi esok.

Pada 2023, sebuah syarikat pemborong barang kemas di Lubnan memfailkan saman terhadap Rosmah bagi menuntut AS$14.57 juta (RM67.46 juta) atas dakwaan melanggar kontrak berhubung kehilangan 44 barang kemas kepunyaan syarikat itu yang diserahkan kepadanya.

Global Royalty Trading SAL, yang berpangkalan di Beirut selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan David Gurupatham dan Koay di Mahkamah Tinggi dengan menamakan Rosmah selaku defendan tunggal.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Global Royalty mendakwa Rosmah telah berbohong dalam afidavit dan pembelaannya dengan menyatakan bahawa 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh seorang ejen syarikat itu kepada defendan telah dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut syarikat itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis, dan baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa itu.

Bagaimanapun dalam usaha syarikat untuk mendapatkan semula 44 barang kemas daripada kerajaan, hanya satu daripada 44 barang kemas dapat dikenal pasti dan diambil semula oleh wakil yang dilantik oleh plaintif daripada kerajaan.

Global Royalty berkata adalah menjadi kewajipan defendan untuk menyimpan dan menjaga kesemua barang kemas itu dengan baik serta bertanggungjawab terhadap keselamatan barang kemas berkenaan.

Bagaimanapun plaintif mendakwa defendan telah memperdayakan plaintif dengan mengalihkan beban kepada Kerajaan Malaysia, sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.

Justeru syarikat itu memohon perintah mandatori supaya barangan kemas itu hendaklah dipulangkan kepada plaintif dalam keadaan baik bagi tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman.

Sekiranya ia tidak dapat dikembalikan, defendan bertanggungjawab untuk membayar kepada plaintif kos barang kemas berjumlah RM67,461,027.37 bersamaan AS$14,567,270 selain memohon faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN