TELUK INTAN – Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan menjalankan siasatan sepenuhnya susulan penemuan pelbagai barang larangan termasuk dadah dan telefon bimbit di lokap Balai Polis Sentral, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh baru-baru ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, siasatan berhubung kes tersebut telah selesai dijalankan secara menyeluruh dan tindakan tahan kerja sementara yang dikenakan terhadap anggota terlibat juga telah diambil bagi memudahkan proses siasatan.
“Pelaku-pelaku yang dikenal pasti telah kita siasat secara menyeluruh dan tugas siasatan telah lengkap. Kesalahan berhubung perkara ini berat, oleh itu proses siasatan dilakukan secara menyeluruh supaya adil dan tidak ada sesiapa yang teraniaya,” katanya kepada pemberita selepas Program Diskusi Town Hall ‘Kesedaran, Penghayatan Dan Kerjasama Rakyat’ – Benteng Pencegahan Jenayah, Karnival Pencegahan Jenayah Peringatan Hari Polis ke-219 di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman berkata, proses siasatan yang dijalankan menjurus kepada penilaian tindakan di bawah Peraturan 36 dan 37, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Walaupun anggota yang bertugas di lokap dikenal pasti sebagai individu yang terlibat, namun pegawai penyelia turut disiasat daripada aspek tanggungjawab penyeliaan dan pemantauan,” katanya.
Berhubung langkah pencegahan sistematik, Noor Hisam berkata, pihak IPD Ipoh telah menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) bagi proses kemasukan OKT ke lokap sebagai usaha memperketat kawalan keselamatan.
Media sebelum ini melaporkan pemeriksaan mengejut JIPS Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah membongkar penemuan pelbagai barangan terlarang, termasuk dadah, telefon bimbit dan senjata tajam di dalam sebuah sel lokap di Balai Polis Sentral Ipoh.














