TAMPIN – Dua penjenayah bertindak licik apabila melarikan sebuah trak pikap jenis Ford Ranger bernilai RM100,000 selepas berpura-pura hendak menguji pandu kenderaan berkenaan yang ingin dijual pemiliknya.
Kejadian pada pukul 5.50 petang di Gemencheh di sini itu berlaku selepas suspek menghubungi mangsa berusia 42 tahun untuk berjumpa dan memandu uji trak pikap berkenaan selepas melihat iklan di Facebook.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, suspek kemudian datang ke lokasi mangsa dengan menaiki sebuah kereta jenis Mini Cooper Cross berwarna hijau menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Katanya, selepas selesai, suspek kemudian memecut laju ketika mangsa ingin turun dari kenderaan tersebut manakala rakannya turut melarikan diri dengan memandu Mini Cooper Cross itu.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa yang merupakan peniaga kerugian RM100,000. Dia membuat laporan tiga jam kemudian,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 379A/336 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ameer Amzar atau hubungi IPD Tampin di talian 06-443 1999 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular di media sosial hantaran mengenai kehilangan kenderaan ketika pandu uji di Gemencheh.-KOSMO! ONLINE.














