PETALING JAYA – Akibat memandu secara melulu dan meredah lampu isyarat merah, seorang lelaki ditahan polis selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana, di sini awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 12.27 pagi itu tular di media sosial selepas melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah Honda HR-V dan Perodua Bezza.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 10.31 pagi.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu Honda HR-V lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an yang gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah.
“Tindakan itu menyebabkan kenderaannya melanggar sebuah Perodua Bezza yang dipandu lelaki tempatan berusia 20-an.
“Kemalangan tersebut turut menyebabkan seorang wanita tempatan berusia 20-an yang merupakan penumpang kereta berkenaan mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek kemudian ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kerana memandu secara melulu.
“Hasil ujian alkohol dan saringan awal air kencing ke atas suspek didapati negatif. Permohonan reman terhadap suspek akan dijalankan esok di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala siasatan turut dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Petaling Jaya mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Sivam A/L Muniandy di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














