fbpx
Rusdi menunjukkan barang rampasan pada sidang akhbar sindiket penipuan di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/ KOSMO!

Op Taring, Op Belatuk gempur ‘call centre’ dan penipuan e-dagang, 833 ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis menahan seramai 833 individu dalam dua operasi khas Op Taring dan Op Belatuk sepanjang tiga bulan pertama tahun ini dalam usaha membanteras penipuan dalam talian di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, operasi bersepadu itu menyasarkan pusat panggilan (call centre) dan penipuan e-dagang yang semakin membimbangkan.

Beliau berkata, menerusi Op Taring yang dijalankan sejak 26 Januari hingga 5 Februari lalu, seramai 430 individu berusia 17 hingga 66 tahun ditahan.

“Tangkapan tertinggi membabitkan warga asing iaitu 270 orang, manakala selebihnya rakyat tempatan yang disyaki berperanan sebagai operator, pembekal skrip dan penyedia infrastruktur komunikasi.

“Dalam operasi sama, polis merampas pelbagai peralatan komunikasi bernilai RM307,860. Sebanyak 18 daripada 74 kertas siasatan yang dibuka telah dituduh di mahkamah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, Op Belatuk yang dilaksanakan sejak 13 hingga 19 April lalu pula menyasarkan penipuan tawaran kerja sambilan dan e-dagang membabitkan sebanyak 403 tangkapan.

Daripada jumlah itu, seramai 358 individu dikenal pasti pemilik akaun bank atau keldai akaun, manakala 45 lagi daripada 11 sindiket dipercayai terlibat secara langsung dalam operasi penipuan tersebut.

Katanya, jenayah penipuan tawaran kerja sambilan menunjukkan peningkatan mendadak sebanyak 173 peratus tahun lalu dengan kerugian melebihi RM219.6 juta.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya melaksanakan Op Frontier dan menahan 1,372 individu terbabit dalam sindiket keldai akaun. Sebanyak 46 tangkapan dibuat menerusi Op Cenderahati berkaitan penipuan bekalan cenderahati tidak wujud. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN