fbpx
Fakhrul bersama bapanya, Zainudin Abdul Latif dan ibunya, Zarina Sood yang mengusahakan sebuah warung menjual makanan seperti laksa dan pisang goreng di Teluk Kemang.

Fakhrul teruja balas jasa ibu bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEJAYAAN meraih keputusan cemerlang 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi bukti bahawa usaha konsisten, disiplin tinggi dan pengurusan masa yang baik mampu membuahkan hasil luar biasa.

Pencapaian itu bukan sahaja membanggakan keluarga, malah menjadi inspirasi kepada rakan sebaya untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.

Bagi Fakhrul Iman Zainudin, 18, kejayaan tersebut hadir hasil komitmen berterusan terhadap pelajaran serta kesungguhan menghadapi pelbagai cabaran sepanjang tempoh pembelajaran.

Anak penjual pisang goreng itu percaya keseimbangan antara fokus di dalam kelas, latihan kendiri dan sokongan daripada guru serta keluarga menjadi kunci utama dalam mencapai keputusan yang diimpikan.

Berkongsi dengan K-Remaja, Fakhrul Iman berkata, dia sebenarnya sudah menyedari mempunyai potensi besar dalam bidang akademik apabila sering mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Begitu pun, keputusan 11A+ itu masih agak di luar jangka memandangkan sewaktu peperiksaan percubaan, dia mencatat keputusan 11A (4A+, 2A dan 5A-).

“Sejak sekolah rendah, saya sudah sering mencatat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan.

“Ibu bapa juga sudah melihat potensi diri saya dan oleh sebab itu, saya rasa penting untuk kita konsisten kerana ia boleh membantu kita terus mengekalkan prestasi cemerlang dalam peperiksaan,” katanya yang mesra disapa Fakhrul.

Baru-baru ini, hati rakyat Malaysia tersentuh dengan kisah Fakhrul yang merupakan anak penjual pisang goreng itu meraih kejayaan luar biasa 11A+ dalam SPM 2025.

Momen bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan itu bersandar di bahu bapanya, Zainudin Abdul Latif, 63, sebaik menerima keputusan tersebut tular di media sosial dan mengundang sebak ramai.

Fakhrul yang juga seorang hafiz al-Quran 30 juzuk sejak tingkatan tiga dinobatkan sebagai pelajar terbaik sekolahnya dan ketiga terbaik di negeri itu bagi SPM 2025.

Fakhrul mendapat A+ bagi kesemua subjek diambilnya iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains, Bahasa Arab, Perakaunan, Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, Hifz Al-Quran dan Maharat al-Quran.

Berkongsi lanjut, Fakhrul berkata, kekuatan utamanya adalah dalam mata pelajaran Matematik dan juga Bahasa Inggeris.

“Subjek paling mencabar pula bagi saya adalah Pendidikan Syariah Islamiah (PSI) kerana sama seperti subjek Sejarah, ia memerlukan saya banyak menghafal dan melibatkan hukum-hakam.

“Seperti yang kita tahu, soalan melibatkan hukum-hakam ini perlu dijawab dengan fakta dan bukan logik akal semata,” katanya.

FAKHRUL juga meminati sukan catur dan turut menyertai kejohanan antaranya Kejohanan Catur Piala SKKG Kali Ke-2 Peringkat Kebangsaan di Port Dickson tahun lalu.

Mengenai hafazan al-Quran, Fakhrul memberitahu sekolahnya adalah Sekolah Kemahiran Bersepadu Tahfiz (KBT) yang mendidik pelajarnya menghafaz al-Quran sejak tingkatan satu.

Bukan seorang yang hanya menitikberatkan pelajaran, Fakhrul juga meminati sukan catur dan menyertai kejohanan antaranya Kejohanan Catur Piala SK Kampong Gelam (SKKG) Kali Ke-2 Peringkat Kebangsaan di Politeknik Port Dickson pada tahun lalu.

Menyentuh mengenai cara dirinya mengulang kaji pelajaran, Fakhrul memberitahu dia menggunakan teknik pemahaman dan ia memudahkan dirinya untuk skor cemerlang dalam peperiksaan SPM.

Biarpun tahu potensi diri, namun Fakhrul memaklumkan dia tidak dapat lari daripada berasa tertekan, terutamanya menjelang peperiksaan SPM.

“Pernah satu hari, saya rasa sangat ‘down’ sehingga salah seorang guru sedar perubahan saya. Saya fikir, jika saya tidak catat keputusan cemerlang, bagaimana saya mahu ubah nasib keluarga.

“Namun, saya bersyukur kerana guru itu tidak putus-putus memberikan saya kata-kata semangat yang membantu saya mencatat keputusan membanggakan ini,” kata anak keempat dari lima beradik itu.

Fakhrul sebelum ini juga dilaporkan menyifatkan kejayaannya dalam SPM itu sebagai hadiah buat ibu bapanya,

Katanya seperti dilaporkan sebelum ini, dia hanya mahu melihat ibu bapanya bahagia dan harapannya adalah ingin untuk melihat ibu bapanya berehat, tidak perlu lagi berniaga pisang goreng.

Difahamkan ibu bapanya telah berniaga pisang goreng sejak 22 tahun lalu.

Susulan keputusan cemerlang yang dicapai dalam SPM, Fakhrul telah ditawarkan untuk melanjutkan pengajian ke Jordan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara), dalam bidang Usul Fiqh dan Perbankan Islam.

Kejayaan Fakhrul telah mendapat perhatian Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang kemudian menyatakan kesediaan untuk membantunya melanjutkan pelajaran dan mencadangkan menyertai program khas di bawah Mara.

Kongsi Fakhrul, dia cukup teruja dengan peluang yang diberikan agar dapat membalas jasa ibu bapanya dan ketika ini sedang membuat persiapan untuk menghadiri kursus bahasa Arab.

“InsyaAllah, jika tiada halangan, saya akan terbang ke Jordan pada September ini atau selewat-lewatnya Februari 2027.

“Ketika ini, saya sedang membuat persiapan bagi mengikuti kursus bahasa Arab,” katanya.

Biarpun gembira, Fakhrul mengakui dia juga sedikit gusar kerana bakal berjauhan dengan ibu bapanya.

“Walaupun sebelum ini saya sudah duduk di asrama, namun asrama saya masih dalam daerah Port Dickson dan masih dekat dengan ibu bapa. Namun kali ini, saya akan terbang betul-betul jauh dan ia membuatkan saya sedikit risau.

“Tapi, ini adalah untuk masa depan saya dan saya akan belajar bersungguh-sungguh,” katanya yang juga merupakan individu pertama dalam keluarganya yang bakal menyambung pengajian di luar negara.

Kejayaan yang diraih itu sekali gus membuka lembaran baharu dalam kehidupan Fakhrul, apabila dia kini bersedia melangkah ke fasa seterusnya dalam dunia akademik.

Peluang melanjutkan pengajian ke luar negara dilihat sebagai satu tanggungjawab besar yang perlu digalas dengan penuh kesungguhan.

Baginya, setiap kejayaan yang diperoleh bukanlah titik penamat, sebaliknya permulaan kepada cabaran yang lebih besar pada masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN