fbpx
Tengku Ahmad Badli Shah (belakang, lima dari kanan) bergambar bersama peserta AUM Melaka pada Majlis Aspirasi Kecemerlangan Agrobank di Ayer Keroh, kelmarin.

Jualan usahawan AUM Melaka naik lebih 65% kepada RM5.5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Program Agrobank Upward Migration (AUM) terus membuktikan keberkesanannya dalam memperkasa usahawan tempatan apabila peserta di negeri ini berjaya mencatat jualan melebihi RM5.5 juta setahun.

Melalui pelaksanaan AUM di Melaka, seramai 30 usahawan telah dibimbing, dengan 20 syarikat mencatat peningkatan hasil jualan sebanyak 65.52 peratus untuk mencecah jumlah terkumpul RM5,537,084.

Selain itu, lima syarikat berjaya memperoleh pembiayaan tambahan berjumlah RM310,000 bagi memperkukuh kedudukan kewa­ngan serta kapasiti perniagaan.

Program AUM yang dikendalikan oleh Agrobank Centre of Excellence (ACE) merupakan inisiatif pembangunan usahawan selama 12 bulan yang menggabungkan latihan berstruktur serta bimbi­ngan secara langsung di premis perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, AUM memainkan peranan penting dalam membantu usahawan mengembangkan potensi perniagaan ke tahap lebih tinggi.

Menurutnya, melalui bimbingan dan sokongan berterusan, usahawan bukan sahaja mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran, malah berupaya menghasilkan inovasi baharu yang memberi nilai tambah kepada produk sedia ada.

“Kisah kejayaan seperti ini membuktikan bahawa dengan usaha gigih serta sokongan yang tepat, usahawan tempatan mampu berkembang daripada operasi kecil kepada perniagaan yang lebih berdaya saing dan mampan.

“Selain bantuan kewangan, modul bimbingan yang ditawarkan merangkumi aspek pengurusan kewangan, pemasaran digital dan amalan pengurusan perniagaan berstandard korporat,” katanya pada Majlis Aspirasi Kecemerlangan Usahawan Agrobank 2026 di MITC Hotel, Ayer Keroh kelmarin.

Dalam majlis berkenaan, Agrobank turut mengiktiraf lima syarikat yang mencatat pencapaian terbaik dalam pelbagai kategori termasuk peningkatan jualan, pengembangan perniagaan, penciptaan pekerjaan serta penambahan kapasiti.

Izati bersama sijil dan plak penghargaan yang diterima.

Antara penerima anugerah yang sempat berkongsi kisah kejayaan mereka ialah Izzati Hamidah Sharil, 28, iaitu pemilik Keria Bangsawan.

“Pada peringkat awal saya dan suami, Muhammad Amir Adam, 28, hanya berniaga kecil-kecilan di tepi jalan dengan pengeluaran sekitar 300 biji sehari, sebelum meningkat kepada 3,000 hingga 4,000 biji.

“Namun selepas menerima pembiayaan Agrobank sebanyak RM100,000 pada 2025, kapasiti pengeluaran melonjak kepada 8,000 biji sehari, malah boleh mencecah sehingga 10,000 biji dan berganda pada hujung ming­gu,” katanya.

Tambahnya, bantuan itu membolehkan mereka menambah mesin, menggaji 15 pekerja serta memiliki premis sendiri di Taman Pengkalan Impian, Ayer Molek sekali gus memperkukuh operasi perniagaan.

Siti Mas Ayu ketika ditemuramah pemberita selepas Majlis Aspirasi Kecemerlangan Agrobank di MITC Hotel.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Siti Mas Ayu Md. Jani, 37, selaku pemilik Legasi Satay Ayu berkata, dia memulakan perniagaan sate secara kecil-kecilan sejak 10 tahun lalu sebelum berkembang secara berperingkat.

“Selepas menerima pembiayaan Agrobank sebanyak RM50,000 pada awal 2025, saya dan suami membina bengkel sendiri berhampiran rumah di Nyalas, Jasin dan kini mampu memenuhi tempahan sehingga 10,000 cucuk sehari.

“Peningkatan kapasiti membolehkan saya menerima tempahan dalam jumlah besar termasuk bagi majlis dan pembekalan ke beberapa negeri seperti Negeri Sembilan dan Pahang,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN