KLANG – Cubaan 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup masuk gagal selepas ditahan dalam operasi bersepadu di pesisir pantai Batu Laut, Tanjong Sepat dekat sini, semalam.
Operasi kira-kira pukul 2.30 pagi susulan maklumat risikan sebelum anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menggerakkan Bot Pengawal 25 ke lokasi bagi mengekang kemasukan kumpulan tersebut.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, operasi berkenaan melibatkan kejar buru di laut sebelum serbuan serentak dilaksanakan di darat dan perairan.
Katanya, pemeriksaan mendapati kesemua yang ditahan melibatkan tiga lelaki dan enam wanita serta tiga kanak-kanak berusia tiga hingga 39 tahun.
“PATI yang ditahan adalah warga Indonesia dan Myanmar. Selain itu, kita turut merampas sebuah kereta dipercayai digunakan oleh tekong darat,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Jelasnya, kesemua individu dan kenderaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 selepas kesemua individu terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














