PETALING JAYA – Serangan terhadap Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) oleh Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan termasuk dakwaan melibatkan mesin layan diri disifatkan seolah-olah mempertikaikan penilaian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam satu hantaran di laman media sosial berkata, tuduhan kononnya RM750 juta dihabiskan untuk mesin layan diri adalah tidak tepat dan mengelirukan.
“Pertama, faktanya salah. Saya boleh saman dan menang, tetapi kita tidak mahu budaya politik turun naik mahkamah setiap kali diserang,” katanya.
Menurutnya, IPR merupakan antara program awal kerajaan yang mendapat pujian Perdana Menteri dan dimasukkan dalam ucapan dasar termasuk pembentangan belanjawan.
“Menyerang IPR sama seperti memperlekehkan penilaian Datuk Seri Anwar Ibrahim,” jelasnya.
Tambahnya, pendekatan lama yang hanya memberi bantuan sekali gus tanpa memastikan kelangsungan pendapatan menyebabkan banyak program terdahulu gagal mencapai sasaran.
“Dulu beri puluhan ribu untuk mula berniaga, tetapi risiko ditanggung sepenuhnya oleh penerima. Akhirnya ramai gagal dan duit rakyat hangus,” ujarnya.
Tambahnya, peserta tidak menerima wang secara terus, sebaliknya menjana pendapatan melalui pengoperasian aset seperti mesin layan diri di bawah komponen INSAN.
“Contohnya, kerajaan menanggung kos sewaan sekitar RM700 sebulan bagi setiap mesin, dengan sasaran pendapatan minimum RM2,000 sebulan kepada peserta,” katanya.
Menurutnya, jumlah RM750 juta yang dibangkitkan Ramanan sebenarnya meliputi tempoh tiga tahun dari 2023 hingga 2025, melibatkan pelbagai komponen termasuk pertanian di bawah INTAN dan perkhidmatan di bawah IKHSAN.
“Daripada jumlah itu, hanya sebahagian kecil digunakan bagi mesin layan diri, malah anggaran kasar bagi komponen tersebut sekitar RM82 juta sahaja untuk tiga tahun.
“Ia seperti kerajaan membina kedai, tetapi dengan kos lebih rendah dan manfaat berterusan,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi mengakui kritikan terhadap program kerajaan adalah perkara biasa, namun berharap ia dilakukan berasaskan fakta dan kefahaman yang tepat.
“Saya tahu saya akan terus diserang, tetapi jangan sampai menidakkan usaha kementerian dalam membantu rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














