KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan Belanjawan 2027 bakal mengetengahkan lebih banyak langkah penjimatan susulan tekanan ekonomi global.
Beliau berkata, kesan daripada serangan Israel yang dibantu oleh Amerika Syarikat (AS) di rantau Teluk telah menyebabkan kesan ekonomi kepada dunia termasuk Malaysia.
Tegas beliau, ia adalah perkara yang tidak boleh dipandang remeh atau bersikap sambil lewa.
“Apabila saya hendak buat keputusan, contohnya kita minta kementerian-kementerian termasuk Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi, rayulah macam mana pun mesti ada pengurangan (belanjawan).
“Mustahil dalam RM20 bilion itu tidak boleh dijimatkan. Banyak bidang-bidang boleh dijimatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya, agenda pendidikan meliputi kemudahan asas di sekolah atau universiti tetap diteruskan tanpa gangguan.
“Kerana itu kita minta semua kementerian meliputi menteri, ketua setiausaha dan ketua penolong pengarah supaya cuba fahami isu ini.
“Semua pihak tidak boleh berfikiran silo. Perpaduan, budaya, sukan, sains dan teknologi semuanya penting, tetapi dalam semua (pihak) perlu ada kebijaksanaan serta kefahaman tentang ekonomi mikro.
“Ini maknanya tidak dilihat hanya dari segi satu sudut, lihat keseluruhannya. Semua terkesan dan memerlukan peruntukan tambahan tetapi dalam keadaan sekarang, semua pihak harus waras dan bijak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














