KOTA BHARU – Pasukan Gerakan Am (PGA) menafikan dakwaan anggotanya memerangkap 34 pelajar dan murid untuk merentas Sungai Golok sebelum melakukan tangkapan di Pangkalan Haram Jambu, Rantau Panjang dekat sini semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, siasatan mendapati, kesemua mereka ditahan selepas merentas Sungai Golok secara haram untuk ke sekolah di Rantau Panjang.
Beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengatakan PGA menahan beberapa pelajar di pangkalan haram tersebut sebelum memanggil pelajar lain untuk merentas Sungai Golok.
“Kita tidak tahan beberapa pelajar sebelum memanggil yang lain merentas sempadan menyebabkan mereka ditahan kira-kira pukul 6.30 pagi.
“Sekiranya ada dakwaan begitu, kenapa ibu bapa tetap membenarkan anak-anak mereka menaiki bot sedangkan tahu ada pelajar yang ditahan?,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, tindakan yang dilakukan 34 pelajar dan murid berusia tujuh hingga 16 tahun itu menyalahi undang-undang kerana merentas secara haram.
“Pelajar yang tinggal di Selatan Thailand dan bersekolah di Rantau Panjang perlu mengikut ketetapan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan tinggal di asrama. Pemantauan di Sungai Golok hari ini mendapati kawasan itu lengang,” katanya.
Terdahulu, terdapat dakwaan ibu bapa pelajar dan murid yang ditahan mengatakan anak-anak mereka berada di Thailand sebelum dipanggil anggota PGA untuk merentas Sungai Golok.
Kosmo! Online semalam melaporkan, PGA menahan 34 pelajar dan murid kerana menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram untuk ke sekolah. Mereka kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis pada pukul 11.30 malam tadi. – KOSMO! ONLINE














