fbpx
PREMIS disyaki memproses kayu balak tanpa kelulusan di Sik diserbu pada kelmarin.

Padah proses kayu balak secara haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIK – Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah premis yang disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan kayu balak tanpa kelulusan di Jeniang, di sini kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira pukul 10 pagi itu, beberapa jentera dan mesin serta kayu balak pelbagai saiz dianggarkan bernilai RM4.3 juta dirampas.

Operasi Bersepadu Khazanah tersebut dilakukan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan negeri, Majlis Perbandaran Sik, Lembaga Hasil Dalam Negeri negeri serta Ibu Pejabat Polis Daerah Sik.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, operasi itu dilakukan hasil maklumat risikan berkaitan premis berkenaan.

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya bertindak menahan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun dipercayai pemilik premis.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis itu telah menjalankan aktiviti memproses kayu balak tanpa kelulusan daripada Jabatan Perhutanan negeri sejak setahun lalu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pasukan serbuan turut menjumpai pelbagai jentera, mesin dan longgokan kayu balak yang belum serta telah siap diproses.

“Kayu yang telah siap diproses kemudiannya dihantar ke sekitar Pulau Pinang untuk penghasilan produk seterusnya,” ujarnya.

Menurutnya, kes diserahkan kepada Jabatan Perhutanan negeri dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985 (Negeri Kedah) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27 enakmen yang sama.

“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Tambahnya, Briged Utara PGA menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pemprosesan dan penyimpanan kayu balak tanpa kelulusan kerana ia boleh mendatangkan kesan serius terhadap alam sekitar.

“Usaha risikan dan penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti, membanteras dan mengekang sebarang bentuk aktiviti yang menyalahi undang-undang,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN