GEORGE TOWN – Mayat seorang lelaki dipercayai gelandangan ditemukan di dalam longkang berhampiran kedai di Jalan Kedah di sini, hari ini.
Lelaki berusia 37 tahun itu terlebih dahulu ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri, lalu menghubungi pasukan polis kira-kira pukul 9.26 pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, hasil siasatan pihak polis di tempat kejadian mendapati si mati merupakan seorang lelaki warga tempatan yang dari Kapar, Selangor.
“Si mati disyaki merupakan seorang gelandangan yang kelihatan menginap di kawasan berdekatan tempat kejadian.
“Siasatan lanjut yang dijalankan pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang terhadap badan si mati tidak menjumpai sebarang unsur jenayah,” katanya di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, mayat si mati telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat, yang dijangka dilakukan esok.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan satu laporan mati mengejut telah dibuka untuk siasatan lanjut,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














