PETALING JAYA – Tindakan sebuah premis pakaian yang didakwa meletakkan televisyen litar tertutup (CCTV) dalam kedudukan yang menghala tepat ke arah cermin bilik persalinan (fitting room) mengundang rasa cemas dalam kalangan pelanggan wanita.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads oleh Hanisazlin79, dia menceritakan detik cemas yang dilaluinya selepas selesai mencuba pakaian di dalam bilik persalinan.
Menurutnya, dia terkejut apabila menyedari kewujudan sebuah CCTV yang dipasang pada bahagian siling luar, namun kedudukannya fokus tepat ke arah pantulan cermin di dalam bilik persalinan tersebut.
“Lepas cuba satu baju..terkejut tiba-tiba perasan ada kamera fokus betul-betul ke arah cermin fitting room.
“Bila tanya kaunter dia kata kamera tu tak nampak dalam bilik,” katanya.
Bagaimanapun, alasan yang diberikan oleh pekerja premis berkenaan gagal menenangkannya serta rata-rata pengguna berpendapat kedudukan CCTV tersebut sangat berisiko mendedahkan privasi pelanggan.
“Kalau kita nampak kamera tu bermakna kamera tu akan nampak kita. Itu adalah ‘law of reflection’ (hukum pantulan),” ujar Sm.Najib.
“Kak, awak pergi periksa dengan pengurus. Jangan senang percaya orang, kalau betul tak nampak tak apa. Kalau nampak kasihan orang lain takut terkena,” tambah Tupaimoon pula.
“Sebab ini lah saya tak masuk fitting room. Beli baju pun memang ambil je sebab kita susah nak percaya orang,” ujar Asnanana.n. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














