PETALING JAYA – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyeru semua pihak termasuk pembangkang supaya menghentikan budaya ‘selective loyalty’ atau kesetiaan terpilih terhadap institusi Raja, agama dan bangsa demi kepentingan politik sempit.
Ini kerana katanya, rakyat sewajarnya menjunjung kasih terhadap titah dan nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 2026.
Pada titah itu katanya, baginda menekankan kepentingan perpaduan, keharmonian masyarakat majmuk serta kestabilan negara.
“Tindakan mempertahankan Raja, agama dan bangsa hanya apabila ia menguntungkan kedudukan politik sendiri tetapi mengabaikannya apabila tidak memihak kepada kepentingan tertentu perlu dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Amirudin berkata, titah Sultan Selangor hadir pada waktu amat penting ketika terdapat kecenderungan segelintir pihak meniup api perkauman, memperalatkan sentimen agama serta institusi diraja demi kepentingan politik.
Malah katanya, Malaysia dibina atas semangat muafakat, persefahaman dan keluhuran undang-undang, bukannya kebencian kaum atau ketakutan agama.
Pada masa sama, turut mengingatkan rakyat supaya menghayati Rukun Negara secara menyeluruh termasuk memahami mukadimahnya yang mengandungi cita-cita besar pembinaan negara bangsa.
“Rukun Negara bukan sekadar lafaz di majlis rasmi tetapi falsafah kebangsaan yang perlu dihayati dalam kehidupan bernegara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, semua pihak juga perlu meneliti Perlembagaan Persekutuan secara jujur dan bertanggungjawab serta memahami Pengisytiharan Kemerdekaan supaya sejarah negara tidak diputar belit mengikut kepentingan politik.
“Malaysia diasaskan sebagai sebuah negara Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan.
“Sebarang cubaan mengherotkan sejarah negara, menanam kebencian antara kaum atau mempersoalkan kerangka Perlembagaan demi keuntungan politik adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan berbahaya kepada masa depan negara,” katanya.
Tegas Amirudin, Kerajaan Selangor akan terus berpegang kepada semangat perpaduan, kesederhanaan dan penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan serta kedaulatan undang-undang seperti digariskan oleh para pengasas negara.-KOSMO! ONLINE














