KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis trafik berpangkat konstabel cedera selepas dilanggar sebuah kenderaan dalam kejadian langgar lari di Jalan Sultan Yahya Petra di sini, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kejadian itu dilaporkan pada pukul 11.40 malam, namun insiden sebenar dipercayai berlaku pada pukul 10.47 malam.
Ketika kejadian, mangsa, Konstabel Roslan Salleh, 27, sedang mengawal lalu lintas di kawasan petak kuning di persimpangan tersebut.
“Siasatan awal mendapati mangsa dilanggar dari arah belakang oleh kereta Perodua Axia yang nombor pendaftarannya masih belum dikenal pasti sebelum pemandu melarikan diri tanpa berhenti memberi bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat pelanggaran itu, Roslan mengalami kecederaan luka di tapak tangan kanan dan belakang kepala selain sakit di bahagian rusuk.
Anggota keselamatan itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dengan menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam untuk mendapatkan rawatan.
Tambahnya, usaha mengesan pemandu kereta itu sedang dijalankan termasuk semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan kawasan sekitar. Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Salehuddin Musa atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














