fbpx
IBU dan ahli keluarga kepada Mya Khadeeja yang ditemukan lemas di kawasan kolam takungan banjir di PPR Taman Nagasari, Jitra semalam.

‘Mya kerap meragam sebelum ditemukan lemas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JITRA – “Mya kerap menangis dan tantrum sejak seminggu lalu, tidak seperti sebelum ini. Mungkin ia petanda anak saya itu akan pergi selama-lamanya.”

Demikian kata Suraidi Shaari, 50, bapa kepada kanak-kanak autistik, Mya Khadeeja, 6, yang ditemukan lemas di dalam kolam takungan banjir petang semalam.

Menurutnya, perubahan anaknya itu turut disedari oleh isteri, Nurul Hidayah Othman, 43, namun menganggap ia kebiasaan kerana menghidap autisme.
“Kira-kira seminggu sebelum kejadian arwah sering tantrum dan menangis siang malam tidak seperti sebelum ini cuma pada situasi tertentu sahaja dia jadi macam itu.

“Walaupun menghidap autisme, arwah tidak menyusahkan sesiapapun termasuk kakak dan abangnya kerana lebih gemar bermain sendirian, ” katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Nagasari, di sini hari ini.

Kata Suraidi yang bekerja sendiri, anak bongsunya itu disyaki keluar dari rumah setelah pintu pagar dibuka oleh anak lelaki berusia 10 tahun yang juga seorang autistik.

“Saya rasa arwah keluar setelah ternampak orang berjalan di luar dan mengikut mereka kerana dia tidak berani untuk keluar sendirian.

“Apabila menyedari kehilangannya saya berusaha mencari di sekitar taman perumahan ini sehingga pukul 12.30 tengah hari sebelum membuat laporan polis. Kemudian saya teruskan pencarian sehingga dia ditemui oleh penduduk di situ pada pukul 4.10 petang,” jelasnya.

Tambahnya, dia sekeluarga masih bersedih, namun reda dengan pemergian Mya.

“Arwah anak syurga yang meninggal dunia hari Jumaat dan lemas. Insya-Allah satu pengakhiran yang baik untuk anak  saya ini,” katanya yang turut mempunyai anak berusia 20, 19 dan 10 tahun.

Jenazah Mya Khadeeja dikebumikan di Kampung Pantai Halban di sini  pada pukul 11.30 malam  tadi setelah urusan bedah siasat selesai.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Radzi Rahim berkata,  bedah siasat ke atas jenazah mendapati kanak-kanak tersebut meninggal dunia akibat lemas.

Kosmo! Online pada kelmarin melaporkan seorang kanak-kanak perempuan autistik yang dilaporkan hilang ditemukan terapung di kolam takungan banjir di PPR Taman Nagasari, petang semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN