fbpx
Jasad allahyarham Nur Izzati ditemukan kira-kira 500 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang ketika menuruni Bukit Changkat Asa sejak Sabtu lalu.

Nur Izzati nak jadi guru, sambung belajar di UPSI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Kami sekeluarga memang berharap Kak Ngah dapat ditemui dalam keadaan selamat, namun takdir berkata lain. Allah SWT lebih menyayanginya dan kami reda.”

Demikian luahan bapa saudara kepada Nur Izzati Humaira Azizul, 19, yang ditemukan meninggal dunia hari ini selepas dipercayai sesat ketika menuruni Bukit Changkat Asa sejak Sabtu lalu.

Azman Abdul Aziz, 57, berkata, keluarganya menerima berita penemuan mangsa kira-kira pukul 11.59 pagi dan menganggap pemergian remaja yang mesra dipanggil Kak Ngah itu sebagai kehilangan besar buat mereka.

Menurutnya, Nur Izzati dipercayai menuruni bukit sendirian sekitar pukul 10.50 pagi kerana mahu tiba lebih awal disebabkan cuaca panas, sebelum disedari hilang.

“Kehilangan Kak Ngah sangat dirasai kerana saya memang rapat dengannya. Sejak hari pertama kehilangannya, kami sekeluarga berkumpul dan sentiasa berharap dia ditemui selamat.

“Kami sudah berusaha sedaya upaya bersama pihak berkuasa sepanjang operasi mencari dan menyelamat, namun hari keempat kami menerima berita ini. Kami sedih, tetapi reda dengan ketentuan Allah SWT termasuk ibu bapanya,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Azman berkata, Nur Izzati yang merupakan anak kedua daripada empat beradik disifatkan sebagai seorang anak yang baik, rajin belajar serta gemar meluangkan masa bersama keluarga.

Tambahnya, arwah juga bercita-cita untuk menjadi guru dan sedang menunggu keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Katanya, jenazah Nur Izzati kini berada di Hospital Kuala Kubu Bharu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara, Sungkai, Perak selepas semua urusan selesai.

“Saya mewakili keluarga mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa, pasukan penyelamat, ketua kampung, penduduk Kampung Changkat Asa dan semua yang membantu serta mendoakan Kak Ngah sepanjang operasi dijalankan,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan misteri kehilangan Nur Izzati Humaira akhirnya terungkai apabila mangsa ditemukan meninggal dunia oleh Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat Malaysia pada pukul 11.58 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN