PETALING JAYA – “Kak ngah tak pernah menyusahkan kami, dia anak yang terbaik untuk kami,”
Demikian luahan menyentuh hati bapa kepada Nur Izzati Humaira, 19, yang ditemui meninggal dunia selepas hilang sejak Sabtu lalu di Bukit Changkat Asa, Hulu Selangor.
Azizul Abdul Aziz, 48, berkata, seluruh ahli keluarga tidak pernah berhenti memberikan sokongan dan doa buat Nur Izzati sejak hari pertama kehilangan anak keduanya itu.
“Kak angah, ayah, ibu, alok, abby dengan Syahid tak pernah tinggal angah daripada hari kejadian sampai hari ini.
“Kak angah kuat tahu, kak ngah kuat. Ayah tahu kak ngah kuat. Mudah-mudahan kita berjumpa lagi. Kalau hari ini kita jumpa, esok kita raya sama-sama,” katanya dalam satu temu bual bersama sebuah radio tempatan, pagi tadi.
Menurut Azizul, dia dan keluarga juga reda dengan segala ketentuan Allah selain menyifatkan Nur Izzati sebagai anak yang sangat baik dan tidak pernah membebankan keluarga.
“Kalau Allah lebih menyayangi kak Nnah…..ayah, ibu semua dah reda. Ayah, ibu jadi saksi bahawa kak ngah anak yang baik untuk ayah dan ibu.
“Kak ngah tak ada dosa pun kepada kami dan tak pernah menyusahkan kami. Doakan untuk anak saya Nur Izzati Humairah. Mudah-mudahan kita berjumpa pada hari ini juga insya-Allah,” katanya.
Rakaman perbualan tersebut yang kembali tular ketika ini sekali gus meruntun hati pengguna media sosial yang menyifatkan doa serta reda kedua ibu bapa tiada batasnya.
Nur Izzati sebelum ini dilaporkan sesat selepas terpisah daripada lima rakan serta ahli keluarganya ketika menuruni Bukit Changkat Asa, Hulu Selangor.
Memasuki hari keempat, Allahyarham ditemui meninggal dunia sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat. – KOSMO! ONLINE














