GUA MUSANG – Seorang lelaki cedera selepas ditanduk seekor lembu dalam kejadian di program sembelihan lembu korban di Taman Kesedar Putra 1, di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi hingga 11 pagi itu menyebabkan Fahmi Ibrahim, 29, mengalami kecederaan pada ibu jari kaki kanan, lutut dan tapak tangan kanan selepas ditanduk sehingga melayang oleh seekor lembu jantan.
Fahmi berkata, sebelum kejadian, dia baru selesai memindahkan daging lembu korban untuk dipotong ke kawasan khemah agihan.
Katanya, seekor lembu yang merupakan haiwan korban keenam iaitu lembu terakhir untuk disembelih secara tiba-tiba bertindak agresif dan terlepas daripada kawalan.
“Keadaan itu menyebabkan orang ramai yang hadir ke program itu bertempiaran diri. Sebelum itu, tiga individu lain hampir ditanduk oleh lembu itu, namun mereka sempat mengelak.
“Saya tidak perasan lembu itu berada di belakang sebelum ia menanduk sehingga saya melayang. Saya pada awalnya trauma dengan kejadian itu.
“Apabila difikirkan semula, ia menjadi kejadian yang lucu. Nasib baik saya tidak cedera teruk apabila hanya mengalami kecederaan pada ibu jari kaki kanan, lutut dan tapak tangan kanan sahaja selepas melayang ditanduk lembu itu,” katanya.
Fahmi memberitahu, insiden tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus membantu program korban bersama penduduk kampung pada tahun depan.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan seorang lelaki melayang selepas ditanduk seekor lembu korban.
Kejadian itu menyebabkan orang ramai yang hadir untuk membantu melapah lembu korban berdepan detik cemas sebelum ada antara mereka mengejar semula haiwan tersebut. – KOSMO! ONLINE














