KOTA BHARU – “Saya dan rakan-rakan saja-saja datang lepak depan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP). Tak tahu pula ada operasi kali ini.”
Demikian kata seorang penunggang motosikal jenis Yamaha LC135 yang berusia 20 tahun selepas ditahan pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Operasi Bersepadu di kawasan balai pelepasan LTSIP, Pengkalan Chepa di sini semalam.
Lelaki yang mahu dikenali sebagai Mat dan berasal dari Rantau Panjang dekat sini itu sanggup menunggang motosikal sejauh 48 kilometer untuk berkumpul dan melepak di kawasan lapangan terbang itu.
Menurutnya, dia menerima lebih 10 saman yang dikeluarkan oleh JPJ atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.
“Saya tidak tahu ada operasi malam ini (tadi). Selepas makan di sebuah kedai di Pasir Pekan, Tumpat, saya dan rakan-rakan terus ke sini.
“Ketika sedang lepak bersama yang lain, tiba-tiba saya didatangi anggota polis sebelum melakukan pemeriksaan terhadap motosikal kami,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas ditahan dalam operasi itu semalam.
Mat memberitahu, dia mengaku sudah membelanjakan sebanyak lebih RM3,000 untuk mengubah suai motosikalnya. – KOSMO! ONLINE














