PASUKAN Selangor FC menegaskan pertemuan menentang Sabah FC dalam aksi Liga Super malam esok ibarat pentas final dalam usaha memastikan pasukan terus kekal di kedudukan No. 2 musim ini.
Pemain tengah Gergasi Merah, Noor Al Rawabdeh berkata, setiap aksi kini membawa makna besar dan fokus utama pasukan ketika ini berikan yang terbaik pada semua kejohanan yang diharungi.
“Perlawanan seterusnya menentang Sabah sangat penting. Bagi kami, setiap perlawanan adalah final.
“Secara jujur, kami perlu kekalkan kedudukan (No. 2) dan fokus sepenuhnya kepada perlawanan ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Al Rawabdeh percaya barisan pemain berusaha memberikan yang terbaik demi menggembirakan penyokong setia memandangkan saingan sudah menghampiri kemuncaknya.
“Setiap musim kami cuba buat yang terbaik untuk penyokong. Musim ini belum tamat, masih ada beberapa piala seperti Kejuaraan Kelab ASEAN dan Piala Malaysia, jadi kami masih ada peluang untuk berjuang,” jelasnya.
Mengulas mengenai masa depannya, pemain antarabangsa Jordan yang bakal beraksi di pentas Piala Dunia 2026 itu menyerahkan segala-galanya kepada pihak pengurusan.
“Mengenai masa depan, kita serahkan kepada Tuhan. Apa yang penting saya mahu membantu pasukan mengakhiri kempen musim ini dengan cemerlang,” katanya yang sudah bersama Selangor sejak 2023.














