PETALING JAYA – Isteri kepada pelawak dan usahawan Shuib, Watie Hanafiah bersyukur dikurniakan pasangan hidup yang banyak membantunya sepanjang tempoh menjaga anak mereka, Akira Juwita Zahrah yang dilahirkan pada 6 April lalu.
Menurut Watie, menjaga Akira sangat mencabar buat dirinya yang pertama kali melahirkan anak namun Shuib memudahkan banyak perkara.
“Cabaran ini benar-benar nyata.Terima kasih daddy, sejak anak kita dalam kandungan sehinggalah hari pertama Akira Juwita dilahirkan, awak sentiasa berada di sisi.
“Apabila Akira buang air besar atau menangis kerana belum pandai menyusu, mummy jadi panik.
“Akhirnya, daddylah yang menguruskan segala-galanya,” katanya dalam satu hantaran Instagram.
Melihat usaha suaminya, dia mendoakan agar Shuib sentiasa dilimpahkan dengan kebaikan dan syurga oleh Allah SWT.
“Semoga Allah mengurniakan syurga buat daddy.
“Terima kasih kerana memahami keadaan hormon saya yang pertama kali bergelar ibu ini, sehingga semua perkara membuatkan saya berasa cemas,” katanya lagi.
Dalam perkongsian sama, dia mengakui panik setiap kali menyusukan Akira.
“Saya panik bila Akira tidak pandai menyusu kemudian menangis, menyusu dan terdiam termenung, serta susu banyak tumpah .
“Ada tak sesiapa yang mempunyai pengalaman yang sama seperti saya semasa pertama kali bergelar ibu?” ujarnya.
Selain Akira, Shuib sebelum ini yang mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Siti Sarah mempunyai empat orang anak iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin, dan Ayash Affan. – KOSMO! ONLINE














