fbpx
Para fuqada tiada kesepakatan terhadap hukum baki rambut wanita yang sudah dipotong. – Gambar hiasan

Hukum rambut wanita sudah dipotong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Saya ingin bertanya kepada Mufti, adakah baki rambut wanita yang sudah dipotong itu dikira sebagai aurat?

Jawapan: Dalam isu ini, tidak dinafikan bahawa para fuqaha terdahulu tidak mempunyai kesepakatan pendapat padanya. Bahkan, mereka berbeza pendapat kepada dua pandangan yang utama.

Pendapat pertama, rambut perempuan yang telah dipotong adalah aurat. Di dalam mazhab Imam Al-Syafie, para pembesar mazhab ini kebanyakannya berpendapat bahawa rambut wanita yang terpisah daripada badannya itu tetap dianggap sebagai aurat haram dilihat oleh lelaki ajnabi. Ini dapat dilihat daripada beberapa kenyataan tokoh-tokoh mazhab tersebut.

Kata Imam Abu Bakr Al-Dimyathi Rahimahullah: “Setiap apa yang haram untuk dilihat daripada orang lelaki atau orang perempuan semasa berada pada tubuh badannya, ia juga haram untuk dilihat apabila sudah terpisah daripada badannya. Ia seperti rambut perempuan dan juga bulu kemaluan lelaki. Maka wajib untuk disembunyikan.” (Lihat I’anah Al-Thalibin, Al-Dimyathi, 3/303).

Syeikh Dr. Wahbah Al-Zuhaili Rahimahullah mengatakan: “Setiap yang haram untuk dilihat ketika ia bersambung dengan anggota badan, haram juga untuk dilihat apabila ia terpisah daripada badan.

Sekalipun setelah kematian. Ia seperti bulu kemaluan (aurat) sekalipun milik seorang lelaki, juga rambut orang perempuan, serta kuku kakinya dan tidak termasuk kuku tangannya menurut ulama bermazhab Hanafi, sedangkan di sisi Al-Syafieyyah kuku jari di tangan turut termasuk.

Maka disunatkan untuk menyembunyikannya supaya tidak ada seorang pun yang dapat melihatnya. Dan terdapat pengecualian terhadap rambut-rambut yang terjatuh di dalam bilik air kesan daripada sikatan rambut orang perempuan atau cukuran bulu kemaluan lelaki.” (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh, Dr. Wahbah Al-Zuhaili, 3/568).

Pendapat kedua, rambut wanita yang sudah terpisah daripada badan bukan aurat.

Ini adalah pendapat yang disebutkan oleh para ulama bermazhab Hanbali.

Kata Al-Syeikh Abdul Qadir Bin Umar Al-Syaibani Rahimahullah: “Maka tidak boleh untuk seorang lelaki itu memandang sedikitpun daripadanya (orang perempuan) sekalipun rambutnya yang bersambung.

Adapun rambut yang terpisah daripada wanita ajnabi, maka dibolehkan untuk seorang lelaki itu menyentuhnya serta memandang ke arahnya. Sekalipun ia merupakan bahagian aurat, ini kerana telah hilangnya keharamannya disebabkan terpisahnya ia daripada jasad. (Rujuk Nail Al-Maarib, Abdul Qadir Al-Syaibani, 2/138).

Ini juga merupakan salah satu pendapat yang dhaif dalam mazhab Al-Syafi’i.

Sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Al-Nawawi, isu hukum rambut wanita yang terputus ini, para ulama terdahulu membahaskannya di dalam bab hukum anggota badan yang terpisah daripada manusia baik lelaki atau perempuan.

Termasuk di dalamnya adalah isu kecil berkenaan hukum rambut wanita yang terpisah dari badan.

Para ulama tidak berbeza pendapat bahawasanya jika seorang lelaki itu melihat ke arah anggota yang terpisah (terputus) daripada badan seorang wanita dengan perasaan syahwat, maka hukumnya adalah haram. Sama ada anggota itu terpisah semasa dia masih hidup atau setelah dia meninggal dunia.

Demikian juga mereka bersepakat bahawa halal bagi lelaki untuk melihat tanpa sebarang syahwat ke arah anggota yang terpisah/terputus daripada badan seorang perempuan sekiranya anggota tersebut halal untuk dilihat oleh lelaki sebelum ia terpisah daripada badan.

Manakala para ulama berbeza pendapat terhadap hukum seorang lelaki itu memandang ke arah anggota yang terpisah daripada badan perempuan tanpa sebarang syahwat, di mana anggota itu adalah tidak dibolehkan untuk melihatnya sebelum ia terputus. Ia tertakluk kepada beberapa pendapat.

Pertama, tidak halal bagi seorang lelaki untuk melihat ke arah anggota yang terpisah daripada badan orang perempuan sekiranya anggota itu di antara bahagian yang tidak halal untuk dilihat sebelum ia terpisah daripada jasad. Tidak ada beza sama ada ia terpisah semasa hayatnya ataupun sesudah kematiannya.

Kaedah yang digunakan oleh para ulama yang berpegang dengan pandangan ini adalah setiap anggota yang tidak boleh untuk dilihat sebelum terputus tidak boleh juga untuk dilihat setelah ia terpisah.

Maka, tidak boleh bagi seorang lelaki untuk melihat tangan wanita ajnabi atau lengan, rambut serta betis, sekiranya ia terpisah daripada jasad wanita itu sama ada semasa hidup mahupun sesudah meninggal dunia. Pendapat ini dipegang oleh ulama bermazhab Hanafi dan disifatkan sebagai pendapat paling asah (sahih) di sisi mereka.

Kedua, dibolehkan untuk seorang lelaki itu melihat ke arah anggota badan wanita yang sudah terpisah darinya sekiranya anggota itu terputus semasa hayatnya. Ini kerana, anggota itu telah menjadi ajnabi daripada jisim. Manakala tidak halal untuk ia dilihat sekiranya ia terpisah setelah kematiannya. Inilah pendapat ulama Malikiyyah. (Rujuk Bulghah Al-Saalik Li Aqrab Al-Masaalik, Ahmad Al-Sowi, 1/194).

Ketiga, dibolehkan bagi seorang lelaki itu untuk melihat ke arah anggota badan yang terpisah daripada seorang perempuan, ini kerana telah hilang keharamannya oleh sebab terputus dari badan.

Inilah pendapat al-Syafieyyah berlawanan dengan pendapat asas dan juga golongan al-Hanabilah.

Kesimpulannya, setelah kami meneliti beberapa pendapat di atas, kami lebih cenderung kepada satu pendapat dalam mazhab Hanbali bahawa telah hilangnya pengharaman melihat kepada aurat yang terpisah daripada wanita.

Ini kerana telah terpisahnya ia daripada tubuh badan. Di samping itu, terdapat kesukaran untuk membezakan antara rambut lelaki dan perempuan kerana terdapat kemungkinan rambut itu datang daripada kanak-kanak perempuan yang belum baligh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN