KUALA LUMPUR – Malaysia berdepan cabaran serius dalam pengurusan air apabila lebih 30 peratus air terawat hilang, malah ada negeri mencatatkan kadar melebihi 40 peratus.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, keadaan itu bukan sekadar isu kecekapan tetapi kehilangan sumber pada skala besar.
“Air adalah asas kelangsungan negara, tetapi ia masih menjadi cabaran yang kurang diberi perhatian. Struktur tarif air semasa juga tidak selari dengan realiti operasi sehingga menjejaskan kelestarian sistem bekalan.
“Kita tidak boleh mengharapkan sistem mampan jika ia sendiri tidak mampu menampung kos operasi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Tenaga, Air dan Perubahan Iklim Malaysia 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Beliau menegaskan penggunaan teknologi seperti pemeteran pintar dan kecerdasan buatan boleh membantu, namun keberanian membuat keputusan sukar amat diperlukan.
Dalam pada itu, Fadillah berkata, pembiayaan menjadi cabaran utama kerana Malaysia tidak mampu menanggung sepenuhnya kos peralihan tenaga dan air.
“Dana awam perlu menjadi pemangkin, bukan penanggung sepenuhnya. Pelabur mahukan kejelasan, kestabilan dasar dan perjanjian yang kukuh,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa cabaran sebenar bukan bersifat teknikal semata-mata, sebaliknya melibatkan tadbir urus yang menyeluruh.
“Tenaga dan air adalah satu sistem yang saling berkait. Tadbir urus yang baik diukur bukan pada perancangan, tetapi apa yang berjaya disiapkan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri bagi memastikan setiap dasar dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Malaysia ada semua yang diperlukan adalah dasar, institusi dan bakat. Kini yang penting adalah disiplin untuk melaksanakan,” katanya.- KOSMO! ONLINE














