GEORGE TOWN – Sebanyak 30 buah sekolah di daerah Barat Daya negeri ini mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula hari ini, ekoran kerja-kerja pembaikan saluran paip utama yang pecah di Jalan Raja Uda, semalam.
Gangguan bekalan air seawal pukul 10 pagi itu melibatkan 19 buah sekolah rendah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Cina manakala 11 lagi adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Kolej Vokasional.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, ini susulan aduan daripada beberapa sekolah di daerah Barat Daya berkaitan keresahan tekanan air dalam kawasan yang semakin berkurangan.
“Justeru, pihak Pejabat Pendidikan Daerah Barat Daya telah mengambil langkah proaktif dengan menghubungi pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bagi mengatasi masalah tersebut.
“Kita telah mengambil langkah awal dengan mengenalpasti sembilan sekolah yang beroperasi dalam dua sesi termasuk sekolah berasrama di Balik Pulau.
“Hasil perbincangan dengan PPD Barat Daya dengan pihak PBAPP, bantuan segera diberikan dengan membekalkan tenaga air ke sekolah-sekolah berkenaan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau memberitahu lagi, pihak PPD telah melaksanakan sesi libat urus secara google meet bagi membimbing pihak sekolah bersedia menyediakan tempat tadahan air bagi bantuan penghantaran bekalan air.
“Setakat ini, sekolah masih mampu beroperasi seperti biasa dengan langkah kawalan serta penjimatan air,” ujarnya.
Kejadian paip pecah yang berlaku semalam disyaki berpunca daripada kerja kontraktor pihak ketiga.
Selain sekolah, lebih 50 kawasan perumahan dan kilang di daerah Barat Daya dijangka terjejas gangguan bekalan air dalam tempoh 24 jam.
Antaranya di kawasan Gelugor, Bayan Baru, Bukit Gedung, Permatang Damar Laut, Teluk Kumbar, Gertak Sanggul dan Pulau Betong. -KOSMO! ONLINE













