fbpx
RAHMAD pada sidang akhbar bagi menjelaskan isu kain rentang berkaitan pengetua SMK Sungai Rambai, Jasin. - Foto oleh AMRAN ALI/ KOSMO!

Pengetua ‘diserang’ selepas bertindak tegas isu ponteng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Tindakan tegas seorang pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai di sini menutup pagar sekolah pada pukul 7.30 pagi bagi menangani isu ponteng mengundang kontroversi apabila muncul kain rentang mengkritik pihak sekolah sejak Sabtu lalu.

Kain rentang yang digantung berhampiran sekolah itu memaparkan tulisan ‘Mohon KPM Ambil Tindakan Pengetua SMK Sungai Rambai’, ‘Pengetua Bermasalah Halau Murid Hadir ke Sekolah, Menafikan Hak Murid Untuk Belajar’.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, tindakan pengetua berkenaan dibuat selepas sekolah itu merekodkan kadar kehadiran murid paling rendah dalam daerah Jasin.

Menurutnya, SMK Sungai Rambai yang mempunyai keseluruhan 663 pelajar hanya mencatatkan kehadiran sebanyak 88.08 peratus bagi tempoh Januari hingga April lalu berbanding sekolah lain yang kebanyakannya melebihi 99 peratus.

“Dalam tempoh empat bulan sahaja, seramai 429 pelajar direkodkan tidak hadir ke sekolah antara satu hingga 10 hari, 11 hingga 20 hari (88 pelajar), 21 hingga 30 hari (14 pelajar) dan 19 pelajar tidak hadir lebih daripada 30 hari.

“Keputusan menutup pagar pada pukul 7.30 pagi itu pula bukan dibuat sendiri oleh pengetua, sebaliknya dipersetujui dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kompleks Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di sini hari ini.

Beliau berkata, seramai 12 pelajar membabitkan pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima dikenal pasti kerap datang lewat dan tindakan tersebut dilihat perlu bagi menangani masalah disiplin serta ponteng sekolah.

“Pada saya tindakan itu betul kerana kalau pihak sekolah tidak tegas, masalah disiplin akan jadi lebih serius. Pihak sekolah juga tidak pernah menghalang murid untuk belajar, malah sentiasa membuka ruang perbincangan dengan ibu bapa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN