fbpx
Pemenang pertandingan bergambar bersama hadiah yang dimenangi pada majlis penutup GREAT Innovation Challenge (GIC) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Program GREAT Innovation Challenge uji kreativiti pelajar universiti, kolej

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Majlis penutup dan pameran akhir GREAT Innovation Challenge (GIC) anjuran Great Eastern Takaful Berhad (GETB) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur menerusi Centre for Artificial Intelligence & Robotics (CAIRO) berakhir dengan jayanya setelah menghimpunkan pelajar universiti, pakar industri dan juga pemimpin akademik.

Pertandingan tersebut telah dilancarkan pada bulan September tahun lalu yang merupakan acara  berskala nasional yang menguji pelajar universiti dan kolej di Malaysia.

Ia bertujuan untuk mencipta semula mesin upcycling kepada mesin yang mempunyai sistem mekanikal yang lebih pintar, mudah alih dan dipertingkatkan dengan integrasi kecerdasan buatan (AI), bagi menukar sisa plastik kepada produk berguna secara inovatif dan lestari.

Inisiatif ini terlahir daripada usaha Great Eastern Takaful dalam memperkenalkan hasil semula menerusi Jelajah Upcycling, yang mencerminkan komitmennya terhadap kelestarian, literasi kewangan serta usaha memupuk kesedaran alam sekitar dalam kalangan komuniti di seluruh Malaysia sejak 2022.

Sepanjang program tersebut, para finalis mempamerkan prototaip inovasi masing‑masing serta membentangkan konsep, fungsi dan potensi impak sosial masyarakat kepada barisan juri dan tetamu jemputan.

Penyertaan dinilai berdasarkan beberapa kriteria utama termasuk inovasi, reka bentuk teknikal, kebolehgunaan, ujian dan pengesahan mesin, serta impak sosial dan alam sekitar, bagi memastikan penyelesaian yang diketengahkan bukan sahaja kreatif, malah praktikal dan boleh dikembangkan.

Wakil Great Eastern Takaful, Jasveen Kaur Marne berkata, GREAT Innovation Challenge mencerminkan komitmen syarikat dalam memperkasakan generasi akan datang dengan pengetahuan, kemahiran dan minda yang diperlukan untuk menghadapi dunia yang semakin digital dan kompleks.

“Dengan menggabungkan inovasi berteraskan tujuan, kami berinspirasi untuk mengilhamkan penyelesaian yang bukan sahaja memajukan teknologi, malah memberi impak bermakna kepada masyarakat.

“Di Great Eastern Takaful, kami bukan sekadar menyediakan perlindungan takaful, tetapi juga komited dalam membentuk pemimpin masa hadapan yang akan memacu perubahan positif dan menyumbang ke arah persekitaran yang lebih lestari,” katanya dalam kenyataan.

Pasukan Vanta telah dinobatkan sebagai pemenang hadiah utama, membawa pulang RM12,000 hasil daripada penyelesaian inovatif yang menampilkan fungsi kukuh serta kebolehgunaan dalam dunia sebenar.

Hadiah kedua bernilai RM8,000 dimenangi oleh pasukan Green AI Innovator, manakala pasukan PVD memenangi hadiah ketiga berjumlah RM5,000, dengan kedua‑duanya menampilkan idea yang telah dikembangkan serta berpandangan jauh.

Selain itu, dua lagi pasukan, Codespark dan Monoglobal, turut menerima hadiah saguhati. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN