PETALING JAYA – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya/Putra Height sekali lagi mengundang kecaman orang ramai apabila dilaporkan mengalami gangguan teknikal pada waktu puncak sehingga sekarang ini.
Difahamkan satu platform mengalami masalah bermula di Ara Damansara sehingga hanya satu platform digunakan untuk dua arah laluan Putra Height dan Gombak secara bergilir-gilir.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads oleh Emeirfaizal, dia mempersoalkan mengapa laluan berkenaan seolah-olah lebih kerap mengalami masalah berbanding laluan lain.
“Persoalan, kenapa LRT laluan Kelana Jaya selalu rosak dan ada masalah? Sedangkan LRT laluan Sri Petaling jarang pula jarang ada masalah. Kenapa ya?” katanya.
Situasi tersebut turut disokong oleh beberapa pengguna lain yang terkandas di stesen berbeza ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Aku turun awal pukul 6 lebih! Boleh pula tersangkut dekat stesen Masjid Jamek,” luah Dininasuhamran.
Menurut Najwaforshort, dia turut melahirkan rasa kesal dengan kekerapan gangguan yang didakwa semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
“Kenapa semakin teruk ini? Setiap minggu pula ada gangguan sekarang,” ujarnya.
“Dah kata, setiap hari Isnin mesti tren ‘Monday Blues’,” kata Hfznizar.
Kata seorang pengguna dikenali Alin, untuk sampai ke stesen Universiti dari Alam Megah dia terpaksa bertukar tiga kali tren seolah-olah menaiki bas henti-henti. – KOSMO! ONLINE














