fbpx
Balai Polis Ulu Tiram selepas kejadian pada Mei 2024.

Serangan Balai polis Ulu Tiram: Saksi cerita lihat rakan ditetak, ditembak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan pertama memberitahu mahkamah dia melihat dua rakan sekerjanya maut masing-masing ditetak dan ditembak di kepala dalam kejadian serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor dua tahun lalu.

Koperal Mohd. Khairul Azhar Abbi Paisa, 25, berkata, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar ditetak di muka, mulut dan telinga, manakala Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said pla ditembak di kepala.

Menceritakan semula insiden pada 17 Mei 2024, saksi itu memberitahu, pada hari kejadian, dia bersama rakannya, Koperal Mohd. Hasif Roslan sedang melakukan ronda cegah jenayah di kawasan pentadbiran Balai Polis Ulu Tiram.

“Pada pukul 2.30 pagi, kami menerima maklumat dan arahan daripada Ketua Polis Balai (OCS) supaya balik ke balai kerana berlaku serangan.

“Setibanya di hadapan balai dan turun dari kenderaan, saya terdengar Lans Koperal Aznel (Lans Koperal Mohamad Aznel Mat Salleh) menjerit meminta kami berundur ke hadapan balai dan memaklumkan Konstabel Azza Fahmi ditetak.

“Saya melihat Azza Fahmi terbaring antara kawasan berek dan bangunan balai dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tetakan pada wajah dari telinga hingga mulut,” katanya ketika pemeriksaan utama pendakwaan kes serangan Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota polis.

Saksi itu berkata, beliau dan Muhamad Syafiq kemudian diarahkan Mohd. Aznel untuk ke bahagian belakang balai bagi meninjau keadaan serta mengesan kedudukan suspek, namun lelaki sama sekali lagi melepaskan tembakan ke arah mereka.

“Kami berlari semula dan berkumpul di belakang pejabat ketua balai sebelum Mohd. Aznel keluar mendapatkan bantuan, manakala saya, Hasif dan Muhamad Syafiq bergerak ke hadapan balai berhampiran kereta perisai untuk berlindung.

“Kami cuba melihat di belakang balai dan mendapati lelaki sama melepaskan tembakan ke arah kami yang berlindung di kereta perisai. Mohd. Hasif kemudian keluar berjalan ke arah pintu pagar balai untuk tarik perhatian lelaki penyerang itu,” katanya.

Namun ketika berada di hadapan kereta perisai, Muhamad Syafiq terkena tembakan di kepala, manakala suspek sama cuba merampas senjata submesingan jenis Heckler & Koch MP5 milik mangsa yang boleh digunakan untuk menembak secara bertalu-talu.

Ujarnya, suspek tidak sempat merampas senjata yang berada di badan Muhamad Shafiq dan ketika itu dia berjaya melepaskan satu das tembakan ke arah suspek dan cuba melepaskan tembakan kedua ketika suspek bergerak.

“Bagaimanapun pistol saya mengalami masalah sangkut dan saya bergerak ke belakang tayar kereta perisai. Selepas membetulkan senjata, saya melepaskan satu lagi tembakan ke arah badan suspek selain cuba mencari perlindungan.

“Ketika itu suspek terbaring bersama Konstabel Shafiq di tepi tayar hadapan kenderaan perisai,” kata saksi itu.

Menurutnya, bantuan pasukan khas tiba pukul 3.30 pagi sebelum keadaan di balai kembali terkawal. Beliau kemudian diminta melakukan pengecaman ke atas mayat dua rakan setugas dan suspek.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor bersambung lagi esok.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, manakala tertuduh yang juga lima ahli keluarga suspek serangan balai polis itu diwakili peguam Faizal Rahman dan Fatimah Zulaikha Ahmad Bashri.

Hari ini, ketika pertuduhan dibacakan semula, kelima-lima tertuduh mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Ibu penyerang, Rosna Jantan, 61, didakwa atas satu pertuduhan gagal memberikan maklumat berkaitan ideologi keganasan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara April 2017 dan 17 Mei 2024

Bapanya, Radin Imran Radin Mohd. Yassin, 64, menghadapi empat pertuduhan menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan kepada perbuatan pengganas, memiliki senjata api untuk menjalankan aktiviti berkaitan keganasan dan memiliki buku berkaitan kumpulan pengganas

Sementara itu, adik-beradik penyerang Radin Romyullah, 36, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh di sebuah rumah di lokasi sama.

Dua anak perempuan Radin Imran, Farhah Sobrina, 25, dan Mariah, 20, turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN