KUALA LUMPUR – Krisis tenaga global yang semakin meruncing susulan ketidaktentuan geopolitik dunia menuntut negara-negara ASEAN mempercepatkan usaha peralihan kepada sumber tenaga yang lebih bersih, mampan dan selamat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia kini berdepan cabaran besar apabila gangguan bekalan tenaga akibat konflik geopolitik memberi kesan kepada rantaian bekalan serantau serta menjejaskan sektor industri dan pengguna.
Menurut beliau, keadaan itu membuktikan setiap negara terdedah kepada risiko luaran dalam dunia yang saling bergantung antara satu sama lain.
“Krisis ini memaksa kita menerima hakikat bahawa bahan api fosil yang menjadi pemacu tamadun sejak Revolusi Perindustrian bukan sahaja semakin terhad, malah mungkin tidak lagi menjamin keselamatan dan kebolehpercayaan seperti yang diandaikan sebelum ini.
“Pada masa sama, rantau ASEAN dijangka mencatat peningkatan permintaan tenaga melebihi 60 peratus menjelang 2040, didorong proses urbanisasi dan perindustrian yang pesat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Energy Transition Conference 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Anwar berkata, perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) turut dijangka mempercepatkan peningkatan permintaan tenaga apabila pusat data dan infrastruktur pengkomputeran canggih memerlukan bekalan elektrik pada skala yang lebih besar.
Katanya, cabaran utama kini bukan sekadar menjana lebih banyak tenaga, tetapi memastikan bekalan tersebut kekal selamat, mampu milik dan mampan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan komitmen Malaysia dalam memperkukuh integrasi tenaga serantau menerusi projek ASEAN Power Grid yang dianggap penting bagi memenuhi keperluan tenaga masa depan.
“Tiada satu negara pun mampu memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat secara bersendirian dengan cekap. Integrasi serantau bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan,” katanya.
Beliau turut menyambut baik penegasan semula komitmen negara-negara ASEAN terhadap pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) Dipertingkatkan ASEAN Power Grid yang diumumkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Cebu baru-baru ini.
Menurutnya, kejayaan penghantaran tenaga hidro boleh diperbaharui dari Laos melalui Thailand dan Malaysia ke Singapura sejak 2022 membuktikan kerjasama rentas sempadan dalam sektor tenaga mampu direalisasikan. – KOSMO! ONLINE














