PASIR GUDANG – Anak syarikat MMC Port Holdings Berhad (MMC Ports), Johor Port Berhad (Johor Port) berjaya mengumpul kira-kira 1,065 kilogram (kg) tekstil dan pakaian terpakai menerusi Kempen Kesedaran Penjagaan Alam Sekitar.
Johor Port dalam satu kenyataan berkata, inisiatif yang digembleng oleh komuniti Johor Port dari 12 hingga 18 Mac 2026 lalu tersebut antara lain bertujuan memacu agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tata Urus (ESG) 2026.
Menurut kenyataan itu, pakaian dan tekstil terpakai terbabit ditempatkan di hab pengumpulan khas di fasiliti Oasis dalam kawasan Johor Port untuk tujuan pengasingan dan pengagihan.
“Selain daripada usaha pemeliharaan alam sekitar, inisiatif ini turut membawa sentuhan kemanusiaan yang mendalam. Barangan masih elok dan boleh dipakai akan disalurkan kepada komuniti yang memerlukan,” kata kenyataan itu hari ini.
Jelas kenyataan itu, pakaian dan tekstil terpakai yang kurang elok akan dihantar ke gudang pengumpulan Kloth Malaysia di Johor Bahru sebelum dihantar ke kilang kitar semula fabrik di Port Klang, Selangor.
Kata kenyataan itu, sisa tekstil tersebut akan diproses menjadi kain pengelap industri, bahan api diproses serta bahan mampan yang lain.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port Berhad, Md Derick Basir menerusi kenyataan sama berkata, ESG bukan sekadar untuk mencapai sasaran yang ditetapkan, tetapi mengenai penciptaan impak yang bermakna.
Kata beliau, inisiatif itu menunjukkan bagaimana tindakan mudah secara
kolektif dapat mengurangkan beban alam sekitar sambil memperkasakan komuniti.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MMC Port Holdings Berhad, Datuk Azman Shah Mohd Yusof pula berkata, inisiatif tersebut mencerminkan usaha berterusan menyatupadukan prinsip ESG dalam setiap aspek operasi pelabuhan.
“Sekali gus memupuk pertumbuhan yang mampan dan inklusif,” katanya. – KOSMO! ONLINE














