fbpx
Cara pemanduan seseorang menjadi punca berlakunya kemalangan. - Gambar hiasan

Berhemah di jalan raya bukan pilihan, tapi kewajipan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Topik keselamatan jalan raya terus menjadi isu kritikal di negara ini apabila saban tahun statistik kemalangan jalan raya menunjukkan angka yang membimbangkan.

Walaupun terdapat pelbagai kempen kesedaran dan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan, insiden kemalangan maut terus berlaku.

Antara faktor penyumbang utama kemalangan maut adalah disebabkan sikap manusia itu sendiri ketika berada di jalan raya.

Menurut Penyelidik Utama Pusat Pemanduan Bijak, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Prof. Madya Dr. Munzilah Md. Rohani, tiga faktor utama dikenal pasti sebagai penyumbang kepada kemalangan jalan raya iaitu sikap pemandu, persekitaran, dan keadaan sesebuah kenderaan itu.

Namun begitu, beliau menegaskan, sikap manusia merupakan faktor paling dominan yang sering dikaitkan dengan kemalangan.

Ini termasuklah kegagalan pemandu untuk mengawal kenderaan, mematuhi had laju serta kurangnya penilaian risiko ketika memandu dalam keadaan jalan yang berbahaya.

Merujuk kepada kes kemalangan tragis di Gerik, Perak yang mengorbankan seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Munzilah berkata, walaupun laporan teknikal menunjukkan sistem brek bas berada dalam keadaan baik, aspek pemanduan tetap menjadi antara penyumbang utama kepada kemalangan.

“Ini mencerminkan betapa pentingnya kesedaran dan tanggungjawab pemandu dalam memastikan keselamatan sepanjang perjalanan.

“Keadaan jalan yang licin, curam dan kurang pencahayaan merupakan faktor tambahan yang boleh memburukkan keadaan jika digabungkan dengan sikap pemandu yang cuai atau terburu-buru.

“Sikap memandu laju di kawasan berisiko tinggi seperti jalan berbukit dan licin boleh menyebabkan insiden seperti terbabas atau gagal membrek dalam jarak selamat,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, setiap pemandu terutama pemandu profesional seperti bas dan lori perlu memahami dan mengenali keadaan kenderaan yang mereka pandu.

“Di negara maju, konsep ‘satu bas satu pemandu’ diamalkan agar pemandu terbiasa dengan keadaan teknikal kenderaan, namun di Malaysia, sistem giliran masih diguna pakai.

“Ini menuntut agar pemandu mengambil inisiatif untuk memeriksa sendiri keadaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan.

“Justeru, prosedur keselamatan kenderaan perlu diwajibkan dan dipantau dengan ketat oleh syarikat pengendali pengangkutan,” katanya.

Susulan itu, katanya, pendidikan keselamatan jalan raya perlu diperkasa sejak awal diikuti dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh pengendali pengangkutan dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas.

Ini merupakan kunci utama dalam mengurangkan kadar kemalangan yang semakin membimbangkan di negara ini.

Ingatlah, setiap kali berada atas jalan, kita bukan sahaja mengendalikan kenderaan, tetapi membawa amanah besar terhadap nyawa sendiri dan orang lain. Bersikap sabar, berhemah dan berdisiplin di jalan raya bukan menjadi pilihan, tetapi kewajipan demi keselamatan bersama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN