Proses pembuatan tenunan pua kumbu diakui Tokoh Kraf Negara 2024, Bangie begitu unik dan rumit serta perlu melalui proses tertentu tanpa sebarang tindakan semberono. – KRAFTANGAN MALAYSIA & BENS MEDIUM PHOTOGRAPHY

Tenun pua kumbu rumit, wanita Iban, benang kena mandi sungai dulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEPAT pukul 8.30 pagi, konvoi Jelajah Kraf Malaysia bersama media anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya MOTAC dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) memulakan misi untuk bertemu seorang tokoh ‘besar’ kraf tanah air, Bangie Embol.

Diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Datuk Mohd. Yusri Mohd. Yusoff dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk Ainu Sham Ramli, perjalanan selama hampir dua jam ke Rumah Panjang Ulu Sungai Kain, Kapit, Sarawak bermula dengan bantuan kawalan trafik daripada agensi terlibat.

Cuaca cerah tanpa hujan dan sesekali ditiup angin sepoi-sepoi membantu perjalanan lebih lima buah kenderaan pacuan empat roda ke destinasi tujuan.

Bermula dengan jalan raya yang diturap penuh, lama-kelamaan kenderaan melalui jalan yang lebih kecil hinggalah menelesuri kawasan tanah merah (offroad) sejauh lebih 10 kilometer.

Keadaan bentuk muka bumi yang tidak rata dan berbukit curam selain langsung tiada liputan internet membuatkan perjalanan semakin mendebarkan dan kadangkala sedikit mencemaskan.

Pun begitu, detik-detik ‘berharga’ tersebut semuanya berakhir tatkala delegasi rombongan lebih 20 orang itu selamat tiba di pekarangan rumah panjang.

Misi utama Jelajah Kraf Malaysia kali ini adalah untuk bertemu dengan wanita hebat yang dinobatkan Tokoh Kraf Negara 2024, Bangie Embol.

Kepenatan ‘membelah’ bukit dan hutan kecil di sekitar kawasan Ulu Sungai Kain itu bagaikan hilang tatkala melihat senyuman manis dihulurkan pesona tua berusia 80 tahun itu.

Lengkap berpakaian tradisional bermotif pua kumbu dengan rona kelabu, hitam dan putih, Bangie menghulurkan salam kepada setiap ahli rombongan yang tiba.

“Terima kasih kerana sudi datang jauh-jauh begini. Dari tadi kami menunggu kedatangan anda semua. Dengar sahaja bunyi kereta, lega rasa di hati.

“Kepada Datuk berdua (Mohd. Yusri) dan (Ainu Sham), terima kasih sekali lagi kerana mengetuai delegasi dari Kuala Lumpur dan sudi singgah menjenguk kami anak beranak di teratak ini,” katanya dalam bahasa Iban sebelum diterjemahkan salah seorang cucu perempuannya.

BANGIE menunjukkan tenunan pua kumbu kepada delegasi Jelajah Kraf Malaysia di Rumah Panjang Ulu Sungai Kain, Kapit, Sarawak baru-baru ini.

Menyorot kembali, Febuari tahun lalu, Bangie dinobatkan sebagai Tokoh Kraf Negara pada Hari Kraf Kebangsaan 2024 kerana jasa dan usaha tidak berbelah bahaginya dalam memartabatkan seni tenunan pua kumbu di negara ini.

Berkecimpung selama 70 tahun dalam bidang tenunan yang popular kalangan etnik Iban di Sarawak itu, Bangie memberitahu, dia mula didedahkan dengan tenunan pua kumbu sejak berusia 10 tahun lagi.

“Pada mulanya saya memang tidak pandai menenun pua kumbu ini.

“Tetapi disebabkan setiap anak perempuan etnik Iban yang tinggal di rumah panjang mesti tahu menenun, saya mula belajar.

“Saya belajar daripada ibu saudara kerana ketika kecil, ibu saya sudah meninggal dunia. Jadi dia (mak cik) orang yang mengasuh saya sejak kecil dan dedahkan dengan ilmu tenunan pua kumbu,” katanya kepada K-Wanita.

Jelas Bangie yang turut digelar ‘penenun mimpi’, dia merupakan generasi kelima daripada keluarganya yang masih meneruskan tradisi menenun seni tekstil warisan etnik Iban itu.

Beritahunya, seni tenun pua kumbu etnik Iban tergolong agak unik serta rumit dari segi pembuatan.

“Ia memang rumit dan tidak semua orang boleh menghasilkannya. Pua kumbu merupakan kain kapas yang ditenun dengan pelbagai corak berwarna-warni, dihasilkan oleh kaum wanita Dayak, terutamanya kaum Iban di Sarawak.

“Kain ini dianggap suci dan digunakan dalam pelbagai upacara penting seperti kelahiran, acara khusus dan untuk menutupi mayat sebelum pengebumian.

“Ia bukan sekadar kain, tetapi turut menjadi lambang spiritual dan budaya yang mendalam kalangan masyarakat kami,” ujarnya.

Bangie ketika proses ‘memandikan’ benang sebelum proses pua kumbu terhasil.

Beritahu ibu kepada lima cahaya mata dan lapan orang cucu ini, tenunan pua kumbu banyak memasukkan unsur-unsur flora dan fauna bersama motif tertentu seperti motif berbentuk manusia dikenali sebagai engkeramba.

“Imej manusia pada tenunan pua kumbu sering digambarkan dengan penampilan semangat dan kuasa luar biasa serta mampu menjelma kepada pelbagai bentuk.

“Ciri-ciri motif engkeramba terlihat jelas pada penonjolan imej tubuh badan, kepala, jari, kaki dan sebagainya.

“Ada juga motif manusia pada seni tenunan pua kumbu dikenali sebagai rang jugah. Motif ini menggambarkan penambahan ciri-ciri tertentu pada imej manusia seperti sayap, sisik, gigi tajam dan lain-lain melambangkan kehebatan atau kepahlawanan si pemakai.

“Sebagai contoh ialah seorang pahlawan yang mahir di medan perang dan terbukti handal serta gagah kerana berjaya memenggal kepala musuh yang cukup ramai,” katanya.

Bangie yang pernah mengharumkan nama Malaysia pada tahun 1998 apabila memperolehi tempat pertama bagi kategori kraf dalam pertandingan Natural Dye Weaving anjuran Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan

Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu turut memberitahu, ada juga pua kumbu yang menggambarkan entiti menakutkan.

Ia termasuklah seperti motif hantu yang melambangkan seseorang yang memiliki ilmu sihir dan bertujuan melakukan sesuatu yang tidak baik kepada orang lain.

Pun begitu jelasnya, motif fauna yang cukup terkenal dan dipilih untuk dimasukkan ke dalam hasil tenunan ialah buaya.

Satu lagi motif yang paling kerap menjadi pilihan pembeli dan pencinta tenunan pua kumbu ialah motif engkarong yang lazimnya diletakkan pada bahagian tepi pua kumbu.

“Ada juga motif tenunan pua kumbu yang menggambarkan aktiviti seharian masyarakat Iban pada zaman dahulu kala.

“Ramai tidak tahu, kebanyakan inspirasi motif yang diperolehi penenun pua kumbu terutama saya yang merupakan pewaris Ngar (ucapara memuja benang yang dijalankan pada awal proses pembuatan pua kumbu) datangnya daripada mimpi.

“Tenunan pua kumbu juga dianggap suci kerana menjadi perantara alam manusia dan alam ghaib yang dipuja bagi memudahkan urusan kehidupan seharian.

“Disebabkan itu juga ia diyakini mampu menjadi pelindung kepada si pemakai daripada sebarang bentuk bahaya dan ancaman keselamatan,” ujarnya.

Berkongsi lanjut mengenai upacara Ngar, ia merupakan ritual khas untuk wanita Iban, tetapi tidak semua golongan itu berpeluang melakukan upacara berkenaan kecuali didatangi roh nenek moyang atau dewa-dewi dalam mimpi yang mengarahkan mereka untuk melaksanakannya.

“Dahulu, dewa akan muncul dalam mimpi wanita Iban untuk mengajar mereka seni tenun bermotif.

“Kerja-kerja ini tidak boleh dilakukan secara semberono tanpa mendapat arahan daripada mana-mana kuasa luar biasa tersebut.

“Sekiranya seorang wanita Iban mengetuai upacara tanpa memperoleh arahan dalam mimpi terlebih dahulu, ia mendatangkan risiko yang boleh mengakibatkan kematian,” tuturnya.

Tambah Bangie, upacara yang melibatkan sebahagian besar wanita dalam masyarakat Iban itu meliputi beberapa peringkat dan proses.

Dari segi masa pula, kebiasaannya ia (ritual Ngar) dilakukan dalam tempoh kira-kira satu minggu bergantung pada hasil celupan benang dari peringkat awal itu sampailah ke proses menenun.

Menurut Bangie lagi, pembuatan pua kumbu mesti dimulakan dengan proses tenun ikat yang mana ia dilakukan melalui teknik menenun.

Pola kain dibuat dengan mengikat benang pada benang penahan celup dan ia dilakukan secara tradisional selama berhari-hari.

Kemudian, benang yang siap diikat itu akan dicelup berkali-kali untuk memperoleh pola yang diingini sebelum motif pua kumbu dihasilkan dan biasanya boleh memakan masa sebulan bagi setiap kain dihasilkan.

Berkongsi proses pembuatan pua kumbu yang sangat rumit, Bangie memberitahu benang kapas perlu ‘dimandikan’ di Sungai Kain, Kapit berhadapan rumah panjang mereka terlebih dahulu sewaktu matahari terbenam.

“Kemudian benang tersebut akan dibilas dan direndam semalaman dengan air halia di atas dulang yang besar dan diperbuat daripada pokok hutan.

“Kemudian, ia akan digantung dan keesokan harinya benang akan ditos sebelum melalui proses nakar (menyukat bahan mentah).

“Ketika proses itu, benang akan direndam bersama campuran air halia berserta beberapa bahan utama iaitu minyak buah kepayang, garam apung dan lengkuas yang dicincang serta ditumbuk halus sebelum menjadi kain pua kumbu.

“Terakhir wanita Iban perlu mandi di sungai untuk membuang sifat negatif dalam diri sebelum mula menenun,” katanya yang memberitahu kain pua kumbu dijual pada harga berbeza dan boleh mencecah RM7,000 mengikut motif dihasilkan.

Mengenai pasaran pua kumbu, Bangie memberitahu hasil tenunan masyarakat Iban itu turut digemari dan mendapat sambutan dari negara luar terutama Eropah dan Asia termasuk Filipina serta Indonesia.

Harapan Bangie cuma satu agar tenunan pua kumbu ini dapat diteruskan dan dimartabatkan sampai bila-bila.

Dengan itu, dia juga telah mewariskan kerja-kerja kemahiran rumit itu kepada anak serta menantu dan semua cucunya agar tradisi ini tidak pupus ditelan zaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN